PUTRAJAYA – Pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof, 48, selamat menjadi suami kepada Natasha Rosa Boudville, 29, dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang berlangsung di The Glass Suite, Boraombak Marina, di sini semalam.

Bapa kepada anak tiga itu menamatkan zaman duda dengan wanita berketurunan Serani yang juga kakitangan pengurusan kanan hotel lima bintang di ibu negara.

Pasangan itu dinikahkan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd Ajib Ismail dengan disaksikan kira-kira 100 tetamu, termasuk keluarga dan kenalan terdekat.

Pada majlis itu, pengantin perempuan yang memeluk Islam pada Ogos tahun lalu, menerima mas kahwin sebanyak RM80 dan sebentuk cincin berlian, selain wang hantaran RM12,121.90. Natasha turut menerima lima dulang hantaran, berbalas tujuh.

Sebelum upacara akad nikah, Eizlan diarak menyeberangi tasik Marina Putrajaya menaiki bot diiringi pegawai tertinggi dan bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Majlis turut diserikan dengan upacara berbalas pantun kedua-dua pihak sebagai sebahagian daripada kemeriahan adat tradisi Melayu dalam perkahwinan.

Majlis resepsi pasangan mempelai bakal diadakan di Ballroom, Boraombak Marina Putrajaya malam ini.

Pada majlis itu, Eizlan dan Natasha diberi penghormatan istiadat penuh APM, membabitkan perarakan silang perang oleh barisan Pegawai Bersekutu agensi terbabit serta pancaragam ‘bagpipe’.

Majlis perkahwinan membabitkan empat acara yang dianggarkan bernilai RM1 juta itu bermula dengan malam berinai bertemakan Bollywood kelmarin.

Selain malam berinai, pernikahan dan persandingan, pengantin bakal diraikan sekali lagi pada majlis penghargaan yang juga resepsi terakhir di lokasi sama pada 14 Disember ini. – MalaysiaGazette