Nor Shamsiah Mohd Yunus.

KUALA LUMPUR – Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM MAG) melancarkan pameran baharu bertajuk ‘Demi Tanah Air: 60 Tahun sebagai Bank Pusat’ bersempena ulang tahun ke-60 BNM di Sasana Kijang, di sini, semalam.

Pameran itu bermula 16 Dis 2019 hingga 30 Jun 2020, menurut BNM MAG dalam kenyataan hari ini.

Ia disempurnakan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, cucunda kepada Yang di-Pertuan Agong pertama, Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad.

Bercakap pada majlis perasmian pameran itu, Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata pameran itu merupakan naratif retrospektif dalam konteks perkembangan dan pembangunan BNM sebagai institusi.

Mengenai peranan bank pusat, beliau berkata “Akta Bank Negara Malaysia memberi mandat yang jelas kepada BNM untuk memelihara kestabilan monetari dan kewangan kondusif kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan.”

“Untuk melaksanakan amanah ini dengan baik, peranan BNM sebagai bank pusat yang bebas dan profesional seperti yang diperuntukan oleh akta adalah penting bagi menjamin mandat yang diberikan dapat dipenuhi dengan berkesan dan membolehkan BNM memberi tumpuan pada perspektif ekonomi dan sistem kewangan untuk jangka panjang,” katanya.

Penceritaan pameran itu bermula dengan kisah jerit perih membangunkan Bank Negara Tanah Melayu oleh 67 tenaga kerja awal dan ruang yang terhad, seterusnya kepada detik BNM menggantikan Lembaga Matawang sebagai pengeluar mata wang tunggal Malaysia pada 1967.

Ini berikutan pemerkasaan penyeliaan sektor perbankan tempatan sehinggalah kepada era inovasi fintech dan seterusnya perbincangan mengenai masa hadapan perbankan maya serta inisiatif nasihat dan khidmat isu kewangan.

Pameran itu turut mengimbau saat-saat genting negara menempuhi badai semasa Krisis Pengambil Deposit 1985 dan Krisis Kewangan Asia 1998 dan bagaimana Malaysia merancang usaha pemulihan sendiri yang dianggap radikal.

Pengunjung akan berpeluang menyaksikan lebih 100 bahan pameran berusia seawal 80 tahun lepas sehinggalah yang terkini, termasuk pelbagai artifak, filem dan foto-foto nostalgia menarik yang belum pernah dipamerkan sebelum ini.- BERNAMA