Prosedur penggantian pekerja asing dipendekkan selepas mendapat aduan daripada pihak majikan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia telah membuat perubahan dalam ketetapan prosedur berkaitan proses penggantian pekerja asing (PGPA) di negara ini selepas mengambil kira aduan dan pandangan majikan.

Dalam kenyataannya, kementerian itu berkata, kementerian telah membuat perubahan dalam ketetapan prosedur pengeluaran Surat Perakuan tersebut di Jabatan Tenaga Kerja.

Surat Perakuan dari Jabatan Tenaga Kerja akan dikeluarkan berlandaskan hanya kepada penentuan kewujudan dan kesahihan premis majikan yang memohon PGPA dan tidak akan melibatkan proses siasatan perburuhan.

Menurutnya, Surat Perakuan akan dikeluarkan dalam tempoh 48 jam berbanding dengan 14 hari atau lebih selepas daripada tarikh permohonan tertakluk kepada pengesahan kewujudan premis
perniagaan majikan.

Perubahan ketetapan baharu dalam permohonan PGPA ini akan berkuatkuasa mulai 18 Disember 2019.

Katanya, pihak Jabatan Tenaga Kerja akan menjalankan pemeriksaan susulan, satu bulan selepas Surat Perakuan dikeluarkan kepada majikan bagi menyemak tahap pematuhan undang-undang perburuhan.

Sekiranya mana-mana majikan didapati melanggar peruntukan undang-undang perburuhan, maka tindakan akan diiambil ke atas majikan tersebut.

Hebahan mengenai ketetapan baharu prosedur PGPA di peringkat Jabatan Tenaga Kerja akan turut dipaparkan dalam laman web jtksm.mohr.gov.my atau www.eppax.gov.my.

Kementerian ini juga ingin mengingatkan pihak majikan bahawa perubahan ini hanya melibatkan prosedur di peringkat Jabatan Tenaga Kerja sahaja.

Prosedur lain di Jabatan Imigresen Malaysia dan One Stop Centre, Kementerian Dalam Negeri masih kekal.

Selain itu, sebagai mekanisma tambahan dalam memantau tahap pematuhan undang-undang perburuhan dan perlindungan sosial, majikan amat digalakkan untuk menyegerakan pelaksanaan Pematuhan Audit Sosial Antarabangsa (ISCA) meskipun kerajaan telah memutuskan pelaksanaannya secara mandatori pada 1 Januari 2021.

ISCA adalah satu bentuk self-regulatory oleh majikan yang akan dijadikan sebagai pra-syarat dalam permohonan penggajian pekerja asing termasuklah permohonan PGPA. – MalaysiaGazette