BATU PAHAT – Filem bertajuk ‘Garang – Aku Luar Biasa’ yang diterbitkan dengan niat murni khusus bagi membantu Orang Kelainan Upaya (OKU) di samping membina kesedaran orang ramai mengenai insan istimewa ini, mula ditayangkan kepada orang ramai pada 5 Dis lepas, namun sambutannya setakat ini dilihat kurang memberangsangkan.

Penerbit Sakti Films Sdn Bhd, Dakshina Muriti berkata, setelah seminggu filem yang berkisar mengenai kisah kehidupan seorang atlet paralimpik negara itu ditayangkan, kutipan jualan tiket tidak pun mencecah RM50,000.

Menurutnya, tujuan asal pembikinan filem itu adalah bagi membantu pembinaan sebuah asrama berteraskan kebajikan bagi kegunaan pelatih OKU di Bengkel Sampul Surat Batu Pahat yang berada di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Jika mengikut jadual yang dikeluarkan oleh pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) tarikh akhir tayangan filem kami adalah pada 15 Disember ini (Ahad), namun kami merayu kepada Finas untuk melanjutkannya.

“Sasaran kami masih belum sampai, dengan kos pembinaan asrama berkenaan sebenarnya adalah sekitar RM1.8 juta,” katanya ketika ditemui Bernama ketika tayangan amal filem terbabit dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Batu Pahat, malam tadi.

Jelas Muriti yang juga Pengurus Bengkel Sampul Surat Batu Pahat itu, setelah hampir 40 tahun beroperasi, bengkel berkenaan kini semakin sempit dengan keupayaan menampung seramai kira-kira 70 orang pelatih.

Katanya, kebanyakan pelatih berkenaan tidak dapat tinggal di asrama yang disediakan terutamanya pelatih wanita yang terpaksa tinggal atau menyewa rumah di luar bengkel terbabit.

“Kami merancang untuk membina sebuah asrama dan sebab itulah filem Garang ini diterbitkan, di mana orang ramai dapat berhibur serta dalam masa yang sama dapat melakukan aktiviti kebajikan.

“Ramai yang tidak tahu yang bengkel ini menghasilkan sampul surat untuk kegunaan rasmi beberapa agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia, Lembaga Peperiksaan Malaysia dan ada juga yang dieksport ke luar negara seperti ke negara Korea Selatan dan sebagainya,” kata beliau yang terpaksa menolak banyak permohonan untuk menjadi pelatih disebabkan kekurangan infrastruktur di situ.

Muriti menambah dengan adanya filem ini pihaknya turut berharap ia mampu memberikan kesedaran kepada masyarakat berkenaan kehidupan golongan OKU ini yang sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai cita-cita mereka.

Katanya, ia juga sebagai satu pengajaran yang golongan OKU terbabit tidak boleh dibuli kerana kekurangan mereka dan mereka ini juga memerlukan perhatian daripada golongan yang normal. – Bernama