Datuk Bung Mokhtar Radin.

KUALA LUMPUR – Dua daripada anak penyandang kerusi Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman merupakan antara nama yang disebut-sebut untuk dijadikan calon UMNO Sabah pada pilihan raya kecil (PRK) kerusi itu yang bakal diadakan.

Dua nama tersebut iaitu Ketua Pemuda UMNO Kimanis, Ahmad Firdaus Anifah dan Ahmad Zachry Anifah berada dalam senarai nama yang akan dipertimbangkan pada PRK berkenaan.

Perkara itu disahkan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Bung Mokhtar Radin seperti dilapor sebuah laman portal hari ini.

Turut disenaraikan ialah bekas ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bongawan Mohamad Alamin, yang merupakan ketua UMNO Kimanis.

Beliau adalah bekas pegawai daerah dan pensyarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Bagaimanapun, Bung enggan menamakan calon lain yang disenaraikan, tetapi sumber parti itu memberitahu, turut tersenarai iaitu pensyarah UMS, Saat Ag Damit dan bekas pegawai kerajaan Ahmad Gais.

Alamin muncul sebagai calon pilihan kerana beliau pernah berkhidmat sebagai ADUN Bongawan sebelum ini dan dilihat mempunyai sokongan akar umbi yang kuat di Kimanis.

Pada pilihan raya umum ke-14 Alamin kalah di Bongawan dengan majoriti 795 undi di tangan calon Warisan Daud Yusof.

Pada 2 Disember lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada Ogos yang mengistiharkan keputusan pilihan raya Kimanis sebelum ini terbatal dan tidak sah, sekali gus membuka jalan kepada PRK.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadualkan bermesyuarat Isnin ini bagi membincangkan PRK Kimanis. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bung mokhtar jgn la amik anak-anak anifah jadi calon… Amik la org lain yg benar-benar berjuang utk bangsa Sabah… Anifah tu dah jadi contoh pembelot yg terang 🙂

Comments are closed.