Mesut Ozil

LONDON – Gara-gara sikap berdiam diri umat Islam berhubung tindakan kejam dan penganiayaan berterusan yang dilakukan terhadap etnik Islam, bintang bola sepak Arsenal, Mesut Ozil melahirkan rasa kecewanya terhadap perkara itu di laman sosial.

Menerusi Instagram Mesut yang juga rakyat Jerman kelahiran Turki berkata, al- Quran dibakar, masjid ditutup dan sekolah berasaskan agama Islam diharamkan daripada beroperasi di Xinjiang, China.

“Timur Turki, darah ummah sedang mengalir, penentangan terhadap penganiayaan yang cuba memisahkan mereka dengan agama dianuti.

“Orang lelaki dipaksa pergi ke kem dan keluarga mereka dipaksa untuk hidup bersama lelaki China. Wanita dipaksa berkahwin dengan lelaki China.

“Tetapi orang muslim berdiam diri, mereka tidak berbunyi apa-apa. Tidakkah mereka tahu memberi persetujuan kepada penganiayaan juga merupakan satu penganiayaan.

“(Saidina) Ali, menantu kepada Rasulullah SAW pernah berkata, jika kita tidak dapat menghindari penganiayaan, cuba untuk dedahkan perbuatan tersebut,” katanya menerusi laman sosial berkenaan.

China sebelum ini dikritik kerana melaksanakan polisi melampau terhadap penduduk Islam Uyghur dengan menghalang hak mereka untuk menjalankan aktiviti agama dan kebudayaan.

Wilayah Xinjiang kini diduduki lebih 10 juta etnik itu iaitu mewakili 45 peratus keseluruhan penduduk di kawasan berkenaan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.