Eddin Syazlee Shith

KUALA PILAH – Kabinet baru-baru ini secara dasar bersetuju dengan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC), kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith.

Beliau berkata, mesyuarat pertama mengenai majlis berkenaan dijangka akan diadakan minggu hadapan, dipengerusikan oleh beliau sendiri, dengan disertai bersama lapan individu yang mewakili media, dan ia akan membincangkan aspek mengenai kerangka penubuhannya.

“Penubuhan MMC ini bertepatan masanya, bagi memastikan masa depan dan kebajikan pengamal media dalam negara lebih terjamin. Saya percaya dengan penubuhan MMC ini banyak perkara berkaitan dengan masalah pengamal media akan dapat diatasi dari semasa ke semasa,” katanya di sini, hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas menutup Pesta Bola Ngoca 2019 di Empang Bangkung, Juasseh, di sini, Ahli Parlimen Kuala Pilah itu berkata, keanggotaan majlis berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Majlis Media Malaysia adalah sebuah badan kawal selia kendiri yang boleh meletakkan standard yang tinggi bagi komuniti media untuk membantu membina dan mengekalkan kepercayaan rakyat kepada industri berkenaan dan bertindak sebagai sebuah badan timbang tara antara rakyat dan pihak media demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia. – MalaysiaGazete