Alif Johan (kiri) dan Nora.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Nora Ariffin menyifatkan anaknya, Alif Johan sebagai anak yang baik sepanjang 20 tahun membesarkannya.

Nora, 46, memberitahu, anak keduanya itu tidak pernah meninggi suara kepadanya, malah selalu bertanya khabar setiap hari.

“Saya ampunkan segala dosa anak saya. Selama 20 tahun, tidak pernah meninggi suara kepada saya.

“Tiap-tiap hari dia akan bertanya kabar saya. Anak yang selalu ingin lihat saya bahagia.¬†Alif pergi jumpa papa ye? Rehatlah di sana. Semoga Allah tempatkan Alif bersama orang-orang beriman. Al-fatihah,” tulisnya di Facebook miliknya yang cukup menyentuh perasaan.

Nora turut memaklumkan jenazah Alif akan disembahyangkan di Masjid Kg Tunku pukul 3 petang ini.

Allahyarham yang meninggal dunia semalam akan dikebumikan berhampiran pusara ayahnya, Allahyarham Johan Nawawi hari ini di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Alif atau nama sebenarnya Muhammad Syakir Alif Johan meninggal dunia secara mengejut, pagi semalam di kediaman keluarga di Petaling Jaya, Selangor.

Berita sedih terbabit dikongsi Nora di Instagramnya, ketika penyanyi Di Persimpangan Dilema itu berada dalam pesawat untuk pulang dari Singapura.

Ketika kejadian, anak kedua daripada empat beradik hasil perkahwinan Nora dengan komposer terkenal itu difahamkan rebah dan tidak sedarkan diri.

Jenazahnya kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, di sini untuk bedah siasat.

Alif satu-satunya cahaya mata pasangan terbabit yang mengikut jejak langkah mereka di arena muzik, malah turut mara sebagai 20 calon protege Mentor Milenia 2019.

Nora sebelum ini kehilangan suami pada 24 Mac 2017 yang meninggal akibat serangan jantung. – MalaysiaGazette