Penulis buku, Zulkarnain Zakaria menunjukkan buku terbarunya yang berjudul 'Cari Aku Di Hujung Nafas' di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL.

KUALA LUMPUR – Pengalaman selama 25 tahun dalam dunia kewartawanan pasti menjadikan jiwa seseorang itu sukar untuk meninggalkan dunia penulisan.

Pernah mencuba banyak bidang lain namun akhirnya Zulkarnain  Zakaria yang pernah berkhidmat di Utusan Melayu Malaysia Berhad (Utusan) itu menyedari dirinya hanya serasi dengan penulisan.

Justeru itu beliau telah menulis dan menerbitkan buku bertajuk Cari Aku Di Hujung Nafas baru-baru ini.

Tidak pernah terfikir hayat Utusan akan berakhir, maka begitu jugalah hidup ini seperti dinukilkan dalam karyanya yang membawa mesej hidup dan mati tidak boleh diduga.

“Cerita ini motifnya kehidupan kita yang tidak terduga, macam saya, saya kerja Utusan dulu saya ingat hendak kerja Utusan sampai mati tapi tidak diduga sebelum pencen saya dah ‘pencen’ dulu (awal), saya tidak terfikir dahulu suatu masa Utusan akan tutup,

“Buku ini pun saya bentuk elemennya siapa yang baca, dia tidak akan terfikir apa yang dia akan baca selepas itu,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.

Naskhah pertama Zulkarnain, 50, itu dihasilkan berdasarkan kisah-kisah benar yang dihimpunkannya dengan paparan pelbagai elemen namun paksinya satu iaitu ketuhanan.

Tidak mahu sekadar menulis tanpa arah bekas Pengarang Kanan Majalah Mastika itu mahu berdakwah melalui konsep santai bagi setiap cerita yang digarapnya.

Buku terbaru hasil penulisan Zulkarnain Zakaria yang berjudul ‘Cari Aku Di Hujung Nafas’ di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL.

“Dalam buku ini semua cerita benar, sebab saya 25 tahun dalam dunia kewartanan kemudian saya dengan Mastika sejak tahun 1996.

“Buku ini sebenarnya tentang kehidupan, saya campurkan dan hasilkan ke arah ketuhanan. Menulis adalah satu tugas berdakwah yang saya cuba sampaikan menerusi penulisan cerita, semua cerita ini membawa pengajaran,” katanya lagi.

Uniknya ‘Cari Aku Di Hujung Nafas’ adalah cara penyampaian yang akan membuatkan pembaca selesa dan santai.

Dalam masa yang sama, ia akan diharap dapat menarik minat pembaca dengan elemen lucu, misteri, kelakar selain bermain dengan emosi yang disajikan.

Meskipun permulaan menulis tatkala kehilangan bekerja bukan jalan hidup yang indah namun Zulkarnain namun ia juga menjadi pembakar semangat.

Beliau berkata, melalui pengalaman itu membuatkan impiannya untuk menulis meskipun tidak lagi berada dalam dunia kewartawanan menjadi kenyataan.

“VSS (Skim Pemisahan Sukarela) Utusan (yang diambilnya) buat kita fikir diri kita lost (hilang arah) tapi saya tidak mahu terlalu fikir tentangnya sebab kalau kita fikir ke belakang akan tekanan baik fikir ke depan. Buku ini, saya anggap pelaburan,” ujarnya.

Menurutnya, ‘Cari Aku Di Hujung Nafas’ mengandungi lebih 20 cerita pendek yang bakal memberikan kepuasan dalam keseronokan pembaca dalam masa yang sama diselitkan pengajaran dalam setiap cerita dalam bukunya.

Bagi yang berminat, bukunya berkenaan hanya dijual secara langsung melalui Zulkarnain dan beliau boleh dihubungi melalui 013-652 7183.-MalaysiaGazette