BERUAS – Polis menahan dua lelaki disyaki menceroboh tanah perkuburan untuk mendapatkan harta lama di Kampung Batu Hampar, Pantai Remis di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Nor Omar Sappi berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 2 petang mengenai kegiatan dua lelaki itu yang dikatakan menggali sebuah kubur lama.

“Siasatan polis mendapati, kawasan tersebut adalah kawasan perkuburan purba yang terletak di atas bukit dan sebuah daripada kubur itu dikatakan milik seseorang berketurunan raja zaman dahulu dan dikatakan terdapat harta ditanam bersama.

“Tindakan serta-merta polis telah berjaya menahan kedua-dua suspek dengan bantuan orang awam dan polis turut merampas cangkul serta penyodok,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nor Omar berkata siasatan terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka datang dari Pulau Pinang untuk mencari harta di dalam kubur tersebut.

“Kedua-dua lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan ujian air kencing juga mendapati mereka bebas pengaruh dadah,” katanya.

Difahamkan, kubur yang terletak di atas bukit dan di dalam kawasan berpagar itu telah dikorek sedalam lebih 0.6 meter oleh kedua-dua suspek.- BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.