Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) bukan sahaja gagal mewujudkan peluang pekerjaan sebaliknya turut gagal mengekalkan pekerjaan sedia ada ekoran kelemahan mengurus ekonomi negara.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, peristiwa terbaru ialah apabila sejumlah 543 kakitangan kumpulan New Straits Times Press (NSTP) akan ditamatkan perkhidmatan pada Mac 2020 akibat langkah mengurangkan pekerja di Media Prima Berhad.

Malah beliau berkata, peluang pekerjaan di negara ini semakin tenat apabila kerajaan mengumumkan untuk mengurangkan jumlah penjawat awam sebanyak lima peratus sehingga tahun 2021.

“Pengumuman malang ini semestinya menghancurkan harapan rakyat Malaysia yang mengundi Pakatan Harapan pada PRU-14 lalu.

“Jumlah keseluruhan perjawatan perkhidmatan awam hingga suku ketiga 2019 adalah sebanyak 1.7 juta dengan merangkumi perkhidmatan awam persekutuan, badan berkanun persekutuan, perkhidmatan awam negeri, badan berkanun negeri dan pihak berkuasa tempatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, DPIM menzahirkan rasa terkilan apabila mendapat berita mengenai edaran surat pekeliling daripada Jabatan Perkhidmatan Awam yang bertajuk “Kawalan Saiz Perkhidmatan Awam” yang bertujuan mengurangkan perjawatan di Kementerian dan Agensi Kerajaan sebanyak satu peratus satu peratus secara keseluruhan pada tahun 2019.

Ujarnya, terdapat kira-kira 1.7 juta jumlah penjawat awam di Malaysia dan dengan pengumuman itu bermakna sebanyak 17,000 rakyat Malaysia bakal hilang sumber pendapatan.

“Tidak sampai setahun, angka peratusan pengurangan pekerja sektor perkhidmatan awam naik daripada satu peratus kepada lima peratus, bersamaan 17,000 kepada 85,000 rakyat Malaysia,” tambahnya.

DPIM katanya, turut terkilan dengan pelbagai lantikan politik yang dibuat di kementerian, agensi kerajaan, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan seolah-olah penjawat awam yang sekian lama berkhidmat untuk negara tidak dipedulikan.

Katanya, pemimpin kerajaan lebih mementingkan sahabat-sahabat mereka di dalam parti politik, termasuk ahli keluarga dengan diberi peluang pekerjaan yang baru, walhal ada yang sudah bergelar yang berhormat, tetapi masih mahu mengemudi agensi kerajaan sebagai pengerusi atau ahli lembaga pengarah.

“Adakah sebenarnya “peluang pekerjaan” yang disebut di dalam Manifesto Harapan itu ditujukan kepada sahabat-sahabat dan ahli keluarga mereka di dalam parti masing-masing?” soalnya.

Justeru, beliau menggesa kerajaan untuk memperhalusi keputusan itu kerana rakyat sebenarnya makin dihimpit kegawatan ekonomi dan kenaikan kos sara hidup.

Tambahnya, kerajaan perlu mengurangkan lantikan politik dan membiarkan penjawat awam yang berwibawa melakukan tugas mereka.

“Harus diingat, penjawat awam merupakan tunjang kepada pentadbiran negara. Ahli politik datang dan pergi, tetapi mereka tetap komited menguruskan pentadbiran kerajaan.

“Pada masa yang sama, kerajaan perlu menguatkan ekonomi negara agar peluang pekerjaan di sektor swasta berkembang. Penjualan aset-aset negara bermakna tertutupnya peluang pekerjaan di negara kita. Rakyat menderita!” katanya. – MalaysiaGazette