Mata pelajaran tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan masih menimbulkan kontroversi.

KLUANG – Persidangan Pertubuhan Cina yang dijadual diadakan pada 28 Disember akan diperluaskan bagi merangkumi badan-badan yang mewakili kaum India dan pendidikan Tamil.

Perluasan persidangan itu bertujuan menggabungkan pelbagai kaum bagi meningkatkan kesedaran mengenai pendirian pertubuhan berkenaan mengenai pelajaran pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia(Dong Zong), Tan Tai Kim percaya semua pertubuhan terbabit dengan isu itu tidak akan berputus asa dalam menyuarakan pendirian mereka.

Tan Tai Kim

Sementara itu, Sinchew Daily melaporkan, walaupun banyak lembaga pengelola dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) tidak setuju dengan garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, tetapi mereka tetap akan mengedarkan dokumen soal selidik seperti yang diarahkan untuk mengenal pasti sama ada ibu bapa mahu pelajaran pengenalan Jawi dijalankan.

Sekolah berkenaan memilih untuk berbuat demikian, seperti yang diarahkan kementerian, kerana tidak mahu sekolah dan murid-murid menjadi mangsa keadaan.

Dong Zong dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) yang secara gabungannya dikenali Dong Jiao Zong akan mengadakan persidangan pertubuhan Cina pada 28 Disember untuk membantah pelajaran pengenalan kepada tulisan Jawi di sekolah vernakular.

BACA: Dong Jiao Zong anjur persidangan pertubuhan Cina bantah tulisan Jawi

Selain mengajak semua pertubuhan Cina menghadiri persidangan itu, Dong Jiao Zong turut meminta lembaga pengelola dan PIBG sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) untuk memulangkan garis panduan pelajaran tulisan Jawi kepada Kementerian Pendidikan sebagai tanda bantahan.

Persatuan lembaga pengelola peringkat negeri juga diminta bermesyuarat atau bersidang bagi membantah perkara tersebut.

Persatuan berkenaan juga diminta mengumpulkan tandatangan dan tanda cop lembaga pengelola dan PIBG sekolah sebagai tanda bantahan.