Pengarah JSJ Bukit Aman,Komisioner Datuk Huzir Mohamed

KUALA LUMPUR – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan mendapatkan pandangan daripada pakar sejarah bagi membantu siasatan berhubung Majlis Peringatan Ulang Tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai, Thailand di Kajang pada 1 Disember lalu.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Huzir Mohamed, beberapa pakar sejarah yang dihubungi pihaknya bersetuju bagi membantu siasatan.

“Kita akan mendapat keterangan pakar sejarah yang akan memberi keterangan dalam masa terdekat.

“Pakar sejarah berkenaan bersetuju memberi penerangan dan kita akan rakam percakapan mereka,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Sebelum ini, pihak polis telah mengenal pasti sebanyak sembilan persatuan yang terlibat dalam panganjuran majlis yang dihadiri oleh 400 bekas ahli PKM dalam sebuah majlis di Kajang, Selangor.

Pihak polis juga telah mengenalpasti seramai empat individu yang telah memberi ucapan pada majlis yang sama.

Ditanya tentang kewajaran melibatkan pakar sejarah dalam kes berkenaan, Huzir bagaimanapun menegaskan, hanya ahli akademik boleh memberi input mengenai pertikaian mengenai Parti Komunis Malaya (PKM) yang telah diharamkan.

“Pakar sejarah ini boleh ceritakan tentang keganasan komunis, mengapa komunis buat macam itu, apa yang berlaku.

“Pakar sejarah yang tahu, sebab itu kita lihat ada semacam pertikaian, isu-isu komunis ada yang mengatakan bahawa apakah komunis ini tidak bagus atau mereka ini kejam.

“Hanya pakar sejarah yang faham kerana mereka membuat kajian,” katanya.

Katanya lagi, setakat ini, seramai 14 saksi telah  diambil keterangan manakala saksi lain telah dibuat temujanji untuk dirakamkan percakapan dalam masa terdekat.

“Setakat ini sejumlah 114 laporan polis telah dibuat berhubung kes yang kita siasatan ini dan siasatan masih berjalan, yang mana,” katanya lagi. – MalaysiaGazette