Temubual Malaysia Gazette bersama Pengarah Eksekutif Kanan Widad Business Group, Datuk Feizal Mustapha di Pejabat Widad Business Group, Jalan Semantan, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan masih belum memberi sebarang maklum balas berhubung semakan tawaran pengambilalihan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang dikemukakan oleh Widad Business Group (WBG) pada dua bulan lalu.

Bagaimanapun, WBG memahami bahawa kerajaan pastinya memerlukan masa untuk meneliti semua cadangan yang dikemukakan bagi pengambilalihan syarikat pengendali lebuh raya itu.

“Kami telah mengemukakan cadangan dan kemudian menyemak semula harga.

“Setakat ini kami tidak tahu maklum balas kerajaan. Tapi kami pun faham kerajaan memerlukan masa,” kata Pengarah Eksekutif Kanan Kumpulan WBG, Datuk Feizal Mustapha ketika diminta mengulas mengenai status cadangan pengambilalihan PLUS oleh WBG.

Bagaimanapun, katanya, WBG sudah bersedia dari segi pembiayaan dan rakan strategik jika memenangi bidaan dalam mengambilalih lebuh raya tersebut.

Pada 30 Oktober lalu, WBG menyemak semula tawaran ke atas PLUS kepada RM5.3 bilion dengan cadangan untuk menguasai 100 peratus kepentingan ekuiti ke atas pengendali lebuh raya itu.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan WBG, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah berkata, dalam pembentangan kepada Kementerian Kerja Raya, pihaknya menawarkan RM5.3 bilion sebagai pertimbangan tunai selain pengecualian pampasan sebanyak RM3.038 bilion dan andaian hutang RM30 bilion yang membawa kepada nilai hutang perniagaan untuk ditawarkan sebanyak RM38.338 bilion.

“Semakan semula tawaran itu juga termasuk dua lagi tambahan klausa iaitu pengecualian RM11 bilion sukuk yang dijamin oleh kerajaan dan pilihan oleh kerajaan untuk membeli balik PLUS selepas 10 tahun berdasarkan nilai pasaran,” katanya.

Pada 9 Oktober lalu, WBG telah membuat cadangan awal kepada kerajaan untuk membeli konsesi PLUS dengan mengambil alih 51 peratus kepentingan yang dimiliki oleh Khazanah Malaysia Bhd pada nilai pertimbangan tunai RM1.5 bilion atau mengambil alih 100 peratus konsesi yang dimiliki oleh Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada pertimbangan tunai RM3 bilion.

Tawaran terbaru bernilai RM38.338 bilion termasuk hutang oleh WBG itu adalah tawaran tertinggi dari sektor swasta.

Selain daripada WBG, kerajaan sudah menerima tiga cadangan pengambilalihan untuk PLUS iaitu daripada Maju Holdings Sdn Bhd bernilai RM34.9 bilion termasuk hutang, serta masing-masing dari RJR Capital (RM3.5 bilion) dan Tan Sri Halim Saad (RM5.2 bilion).

Meskipun semakan tawaran itu mengambil kira lanjutan caj tol  20 tahun lagi, tetapi Fezal yakin pengguna tidak kisah untuk membayar jika kadar dikenakan berpatutan dan perkhidmatan yang diberikan adalah terbaik.

Tambahnya, WBG menawarkan diri untuk pengambilalihan itu kerana ia selari dengan model perniagaan yang dimilikinya.

WBG merupakan syarikat induk Widad Group Berhad, sebuah entiti yang menjalankan pengurusan kemudahan bersepadu (IFM), selain pembinaan, rel dan pengurusan pepejal.

Ia juga memiliki 64% dalam Dataprep Holdings Berhad, sebuah syarikat teknologi maklumat.

Menjawab pertanyaan, Feizal berkata, buat masa ini WBG hanya berminat dengan PLUS sahaja kerana ia adalah rangkaian lebuh raya terbesar, selain mempunyai cabang-cabang anak syarikat.

“Setakat ini memang PLUS sahaja, tiada yang lain.

“Kami menawarkan pengambilalihan PLUS kerana ia adalah lebuh raya terbesar – dari utara hingga selatan, terbesar di Semenanjung, sekali gus skala ekonominya besar.

“Selain itu, ia juga memiliki anak-anak syarikat yang mengendalikan rangkaian lebuh raya lain.

“Faktor lain yang mendorong WBG mengambil alih ialah PLUS adalah aset negara.

“Sentimennya seperti Malaysia Airlines, syarikat penerbangan negara dan syarikat kereta nasional, Proton,” tambahnya. – MalaysiaGazette