KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa meminta supaya pihak tertentu tidak  mempersenda dan mengkritik keadaan kesihatan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kononnya beliau sengaja berlakon demi meraih simpati ramai.

Malah ada juga pihak yang mendakwa kononnya kegagalan kontinjen sukan SEA negara mencapai sasaran 70 pingat emas punca Ahli Parlimen Muar itu sengaja berlakon sakit supaya isu berkenaan tidak dibangkitkan kepada kementeriannya.

Dalam ciapan Twitter beliau pagi ini, Setiausaha Agung UMNO itu berkata, semua pihak seharusnya mendoakan agar pemimpin itu sembuh dan tidak dipersendakan keadaan kesihatannya.

Beliau turut membidas pihak yang cuba mempolitikkan kesihatan Ahli Parlimen Muar itu dan menunjukkan kematangan politik.

“YB Syed Saddiq itu sakit dan sedang dirawat, usah persendakan, doakan agar cepat sembuh.

“Semua itu ujian Allah SWT. Boleh menimpa sesiapa saja, amalkan politik sihat,” katanya dalam ciapan di Twitter beliau.

Pada Rabu minggu lalu, KBS dalam kenyataan mengesahkan Syed Saddiq telah selamat menjalani pembedahan apendisitis di sebuah hospital di Lembah Klang dan memerlukan rehat secukupnya.

BACA: Siti Hasmah kunjungi Syed Saddiq selepas seminggu jalani pembedahan

Beberapa hari selepas itu Syed Saddiq sendiri memuat naik gambar beliau yang dilawati wanita pertama negara Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali untuk melihat tahap kesihatannya.

Syed Saddiq juga menjelaskan dia kini menjalani rawatan pemulihan dari rumah dan memerlukan rehat secukupnya dan berkongsi dalam laman twitter bahawa dia sempat mengadakan mesyuarat post mortem sukan SEA.-MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.