KUALA LUMPUR – Cawangan Cold Storage di Seksyen 14 yang merupakan pasar raya tertua di Petaling Jaya akan ditutup akhir bulan ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang memaklumkan perkara itu memberitahu, penutupan tersebut adalah sebahagian daripada pelan penyusunan semula perniagaan GCH Retail (M) Sdn Bhd yang merupakan pengendali rangkaian Giant Supermarket dan Hypermarket, Mercato Supermarket dan Jason’s Food Hall.

“Ia juga merupakan keseluruhan perancangan untuk memenuhi kehendak pelanggan dan keperluan untuk terus berdaya saing di dalam pasaran.

“Sehingga kini, sebanyak 37 premis Giant telah diperbaharui
dengan konsep yang lebih segar dan telah dibuka semula kepada pelanggan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata, GCH melalui kerjasama dengan Syarikat Pesaka Antah Sdn. Bhd. juga sedang mengembangkan rangkaian kedai serbaneka yang dinamakan sebagai ShopSmart.

Ujarnya, sehingga kini sebanyak enam cawangan Shopsmart telah beroperasi.

Sebelum ini, The Edge melaporkan GCH yang pernah mempunyai 147 cawangan di seluruh negara, menutup 13 premisnya yang terdiri daripada cawangan Giant dan Cold Storage tahun ini.

Laman web Cold Storage turut menyatakan ia mula beroperasi di Malaysia pada 1963 dan kini mempunyai tujuh cawangan, termasuk di Seksyen 14.

Cold Storage bertempat di pusat beli-belah Jaya Supermarket yang dibina pada 1974, pernah menjadi mercu tanda di Petaling Jaya.

Difahamkan, cawangan itu dibuka sebelum 1980. – MalaysiaGazette