KUALA LUMPUR – Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) akan mengeluarkan edisi terhad setem Ejen Ali bersempena dengan filem animasi Ejen Ali The Movie.

Setem edisi khas akan menampilkan 10 watak utama dari Ejen Ali The Movie yang terdiri daripada Ejen Ali, Ejen Alicia, Ejen Comot, Ejen Bakar, Ejen Rizwan, Ejen Fit, Ejen Bobby, General Rama & Kawan-Kawan, Niki dan Pengganas.

Siri Setem edisi terhad ini akan dijual pada harga RM35 setiap satu set yang terdiri daripada helaian setem mengandungi 10 keping setem, sampul surat, poskad dan folder yang menampilkan kesemua 10 watak utama dari Ejen Ali
The Movie.

Para peminat boleh membeli set setem Ejen Ali mulai 18 Disember 2019 di 13 Pejabat Pos Besar di seluruh negara atau di kedai online – www.eziemall.com di bawah pautan “Setem & Koleksi”.

Ejen Ali The Movie adalah filem animasi Malaysia paling hangat ditayangkan di pawagam sejak 28 November 2019 dan berjaya meraih kutipan sebanyak RM20 juta dalam masa dua minggu.

Ia merupakan sebuah filem animasi Malaysia yang bertemakan fiksyen dan aksi.

Filem ini berkisarkan tentang Ejen Ali yang perlu merungkai satu misteri yang telah mengancam kota futuristik Cyberaya, pada masa yang sama mempertaruhkan kesetiaannya kepada agensi rahsia Meta Advance Tactical Agency (MATA).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Md Najib Syed Md Noor berkata, Ejen Ali The Movie adalah filem animasi pertama diabadikan pada setem pos edisi istimewa tempatan.  – MalaysiaGazette