Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menjelaskan penganjuran Sidang Kemuncak KL bukan satu platform yang menggantikan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan bukan juga untuk mewujudkan satu blok baru.

Perdana Menteri berkata, Sidang Kemuncak KL kali ke-5 yang berlangsung esok adalah inisiatif pertubuhan bukan kerajaan yang disokong oleh kerajaan Malaysia.

Sidang Kemuncak itu bukan satu platform untuk membincangkan tentang agama atau urusan agama tetapi khusus untuk menangani keadaan umat Islam, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Mahathir berkata demikian bagi memperbetulkan beberapa maklumat salah seperti yang dilaporkan oleh Pakistan Today yang mendakwa Sidang Kemuncak KL bertujuan untuk menjadi platform menggantikan OIC.

Terdahulu, kenyataan itu memaklumkan bahawa Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan tidak dapat hadir ke Sidang Kemuncak itu yang berlangsung sehingga 21 Disember.

Imran turut melahirkan rasa kecewa kerana tidak hadir.

“Mahathir menghargai panggilan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Imran Khan untuk memaklumkan ketidakupayaannya menghadiri sidang kemuncak.

“Imran itu dijadual berucap dan berkongsi pemikirannya mengenai keadaan dunia Islam,” kata kenyataan tersebut.

Hari ini, umat Islam berdepan dengan penindasan, penahanan berjuta-juta, ditempatkan di kem tahanan, perang sivil yang mengakibatkan kemusnahan kota-kota dan negara-negara yang membawa kepada penghijrahan besar-besaran umat Islam yang dipindahkan ke negara bukan Islam, kebangkitan Islamophobia dan amalan rasional yang bertentangan dengan ajaran Islam namun telah diisytiharkan atas nama Islam.

Mahathir berkata, perkara itu menjadi kebimbangan yang mendorong kewujudan Sidang Kemuncak KL.

Tahun ini, katanya, bakal menyaksikan perdebatan dan perbincangan melangkaui intelektual selain meneruskan langkah-langkah tertentu, tonggak atau objektif yang dianggap dapat dicapai dan dilaksanakan.

Sidang Kemuncak yang sama menyedari untuk meneruskan tonggak dan objektifnya dengan kumpulan yang terlalu besar akan menjadikannya ia sukar dan mungkin gagal walaupun sebelum ia bermula.

Lantaran itu, pemilihan negara-negara utama adalah untuk tujuan khusus, tetapi senarai itu tidak menyeluruh apabila inisiatif-inisiatif ini telah diambil.

Sidang Kemuncak itu cuba mencetuskan pendekatan baru dalam kolaborasi ummah dan jika ia mampu mencapai sesuatu, maka ia akan dapat dikemukakan kepada kumpulan Islam dan negara-negara Muslim yang lebih besar untuk menilai sama ada inisiatif-inisiatif ini perlu dijalankan dengan lebih besar.

Kali ini hanya beberapa pemimpin negara diminta untuk mengambil bahagian.

Tetapi Malaysia ingin mengulangi bahawa semua 56 negara dunia Islam telah dijemput dan semua 56 diwakili di pelbagai peringkat.

“Sebagai negara kecil, Malaysia sedar akan batasan dan keupayaannya. Kami hanya cuba menyumbang apa yang termampu untuk memperbaiki kebaikan ummah. Kami berdoa agar inisiatif kami akan menerima berkat-berkat Allah SWT,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.