Menteri Belia Dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (kanan) diiringi Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail (kiri) hadir pada sidang media selepas Mesyuarat Lembaga Pengurus Majlis Sukan Negara du Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 16 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq diminta menjawab keluhan atlet yang digambarkan tidak mendapat perhatian menteri.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki juga mahu Syed Saddiq memberi penjelasan prestasi teruk kontingen Sukan SEA 2019.

“Alhamdulillah Ketua Armada PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah sihat dan kembali bertugas. Harapnya boleh tolong jawab kenapa prestasi Kontingen Sukan Sea tahun ini jatuh teruk dan keluhan atlet yang digambarkan tidak mendapat perhatian Menteri, perlu diberikan pencerahan juga!,” kata Asyraf.

Sukan SEA 2019 di Filipina yang menutup tirai pada 11 Disember lalu menyaksikan Malaysia sekadar berpuas hati dengan 56 pingat emas, 57 perak dan 72 gangsa berbanding sasaran awal untuk meraih 70 pingat emas.

Syed Saddiq yang mengulas pencapaian itu berkata, beliau bertanggungjawab sepenuhnya dan memohon maaf atas kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran ditetapkan.

Artikel berkaitan: Surat tunjuk sebab gagal capai sasaran emas Sukan SEA Filipina

TERKINI : Saya Memikul Tanggungjawab Sepenuhnya “Kegagalan Prestasi SUKAN SEA” – Syed Saddiq

Bagaimanapun, bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong dalam kenyataan media pada 12 Disember lalu berkata, Syed Saddiq patut lebih mendengar rintihan dan keluhan persatuan-persatuan sukan kebangsaan dari lebih mendengar dan percaya kepada satu pihak sahaja.

Katanya, menteri itu kena lihat sekarang ini sudah mula keluar kenyataan dari pegawai-pegawai persatuan dan atlet yang mempersoalkan tindakan serta keputusan MSN yang tidak membantu mereka.

Zolkples yang membuat surat terbuka kepada Syed Saddiq kerana tidak dapat bendung rasa kecewa dengan prestasi kontingen negara – perasaan sama dirasai oleh rakyat Malaysia dan peminat sukan negara.

Ini kerana, beliau menjangkakan kontinjen negara boleh mencapai lebih daripada 80 emas berbanding dengan Korat 2007 (pencapaian 68 emas) kerana acara pada temasya kali ini lebih banyak, di samping bilangan atlet juga lebih ramai.

“Jumlah sasaran keseluruhan pingat juga jauh tersasar. Pada saya, daripada mencatatkan kejayaan terbaik di luar KL, bertukar kepada igauan negeri menjadi pencapaian paling buruk dalam sejarah.

“Kontinjen negara juga gagal mencapai sasaran kedudukan keempat terbaik apabila hanya berjaya menduduki tempat kelima. Perbezaan pingat emas dengan negara yang menduduki tempat keempat (Thailand) juga terlalu jauh,” ujarnya sambil menyifatkan kegagalan ini suatu petanda buruk terhadap masa depan sukan negara terutama dalam masa kurang setahun lagi Malaysia akan menghadapi temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020. – MalaysiaGazette