Dapur moden yang menggunakan Smart Automatic Distillation System untuk menghasilkan minyak gaharu.

CYBERJAYA – Pengusaha tanaman gaharu di negara ini kini mampu tersenyum lebar apabila pendapatan mereka dapat ditingkatkan menerusi teknologi dan inovasi dapur teknologi digital.

Dikenali dapur moden yang menggunakan smart automatic distillation system ia telah dibangunkan bersandarkan kepada masalah yang dihadapi oleh pemain industri gaharu yang terlibat dalam pemprosesan minyak gaharu secara tradisional.

Pengenalan dapur itu dihasilkan Juara Agarwood Resources Sdn. Bhd. (Juara Agarwood) yang menjadi syarikat bumiputera pertama seumpamanya di Malaysia malah di rantau Asia Tenggara.

Pengarah urusannya, Muhammad Hafiz Talib berkata, sebagai syarikat yang terbabit mengusahakan produk berasaskan gaharu, pihaknya sentiasa berusaha memperluaskan inovasi dan penggunaan teknologi bagi meningkatkan produktiviti industri.

Jelas beliau, ini kerana proses memasak minyak gaharu secara tradisional melibatkan satu proses yang sukar dalam tempoh masa yang lama, penggunaan gas memasak yang banyak dengan kos yang tinggi selain pemantauan tanpa henti selama 24 jam untuk empat hari oleh tenaga kerja.

“Sudah proses memasak di kawasan dapur yang panas itu akan memiliki kekurangannya iaitu daripada aspek suhu yang tidak terkawal, kotor dan juga bakal berlaku pencemaran karbon,.

“Namun dapur moden ini dapat menjimatkan masa dan kos pengusaha berbanding sebelum ini yang menggunakan bahan api gas dan menggunakan pekerja bagi memantau sepanjang proses empat hari memasak kayu gaharu,” katanya pada sesi memperkenal dapur gaharu teknologi digital di Cyberjaya baru-baru ini.

Penggunaan teknologi dapur moden minyak gaharu diperkenalkan Juara Agarwood Resources Sdn Bhd.

Muhammad Hafiz menambah, kejayaan Juara Agarwood yang merupakan anak syarikat One Diversity Sdn. Bhd. mengeluarkan ciptaan terkini selari dengan teknologi digital Revolusi Perindustian 4.0 yang ditekankan oleh kerajaan.

Beliau berkata, pengusaha kini boleh mengusahakan pati minyak dan produk kesihatan air hidrosol bermutu tinggi secara sendiri melalui sumber elektrik kawalan jauh menggunakan telefon mudahalih.

Jelas beliau, dapur gaharu teknologi digital itu dihasilkan dalam jangka masa setahun melalui kajian dan pengalaman syarikatnya sepanjang mengusahakan produk berkenaan melebihi lima tahun lalu.

“Dapur gaharu teknologi digital dihasilkan itu mampu memasak 2.5 kilogram (kg) kayu gaharu menggunakan sistem elektronik melalui bantuan wifi dan boleh diakses melalui telefon mudahalih di serata dunia.

“Penggunaan dapur digital itu juga dapat menjimatkan kos berbanding sebelum ini menggunakan empat tong gas sepanjang empat hari proses memasak.

“Melalui sistem itu, ia juga membolehkan pengguna mengawal suhu, penambahan air dan mengawal kawasan sekitar melalui kamera litar yang dipasang pada dapur,” katanya.

Muhammad Hafiz Talib

Muhammad Hafiz memberitahu, dapur digital itu mampu menghasilkan dua hingga lima militer (ml) minyak dan 1.8 liter air hidrosol yang bernilai tinggi serta mempunyai pasaran tinggi pembeli

Tambah, pada masa ini pihaknya berjaya memasarkan lebih 20 unit dapur digital itu termasuk menerima tempahan dari Vietnam dan Indonesia yang juga antara negara pengeluar tanaman gaharu.

“Kos bagi setiap unit dapur itu berharga RM5,000 bagi 2.5kg dan RM50,000 bagi 25kg yang mampu disiapkan dalam jangka masa dua minggu selepas membuat tempahan.
“Produk Bumiputera ini menggunakan teknologi tempatan sepenuhnya dan menjelang tahun depan syarikat menyasarkan nilai jualan sebanyak RM50 juta termasuk dalam dan luar negara,” katanya. – MalaysiaGazette

Penggunaan dapur moden secara digital dapat menjimatkan kos berbanding sebelum ini menggunakan empat tong gas sepanjang empat hari proses memasak.