Tokyo mendakwa nelayan-nelayan yang ditahan Rusia tidak melakukan kesalahan. Gambar hiasan. foto Agensi

TOKYO – Kementerian Luar Jepun menuntut pembebasan segera lima kru bot nelayan yang ditahan oleh Rusia selepas mendakwa rakyatnya tidak melakukan apa-apa kesalahan, selain atas alasan kemanusiaan.

Rampasan bot nelayan itu dilakukan oleh pengawal sempadan Rusia berhampiran pulau-pulau yang dipegang oleh Rusia tetapi dituntut oleh Jepun.

Menteri Luar Jepun, Toshimitsu Motegi sedang melawat Rusia untuk memulakan semula rundingan berhubung pulau-pulau dan perjanjian damai rasmi untuk mengakhiri Perang Dunia Kedua.

Bot-bot nelayan itu didakwa sedang memancing sotong berhampiran empat pulau ketika mereka ditahan oleh Rusia.

Kesemua mereka disiasat kerana disyaki melanggar perjanjian penangkapan ikan, kata media Jepun.

Tetapi, pegawai Kementerian Luar Jepun berkata, nelayan-nelayan tersebut tidak melakukan apa-apa kesalahan.

“Kami telah menuntut pembebasan mereka secepat mungkin atas alasan kemanusian,” tambahnya.

Sebuah bot yang digunakan menangkap sotong telah ditahan Rusia pada Januari tahun ini dan kru bot itu dibebaskan sebulan selepas itu selepas membayar denda.

Jepun mendakwa empat pulau yang dikuasai Rusia dari wilayah utara Hokkaido di Jepun, yang dikenali sebagai Wilayah Utara.

Dikenali di Rusia sebagai Kuriles Selatan, pulau-pulau itu telah diserang oleh tentera Soviet semasa Perang Dunia Kedua.- MalaysiaGazette