Polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan di Paris. foto Agensi

PARIS – Kesatuan-kesatuan sekerja Perancis gagal untuk mencapai sokongan besar yang diharapkan untuk meneruskan protes jalanan semasa Hari Krismas bagi memberi tekanan kepada Presiden Emmanuel Macron yang melaksanakan reformasi skim pencen.

Sebaliknya, para pekerja mahu protes dihentikan semasa Krismas.

Rangkaian pengangkutan Perancis telah lumpuh dan sekolah ditutup pada hari ke-13 mogok.

Meskipun begitu, belum ada peningkatan momentum yang diharapkan oleh ketua-ketua kesatuan sekerja dalam anjuran protes walaupun mogok itu disertai oleh sektor swasta.

Di Paris, polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan para penunjuk perasaan dari Place de la Nation, walaupun tidak ada rusuhan dan rompakan seperti rusuhan ‘yellow jacket’ yang menentang kenaikan kos sara hidup akhir tahun lalu.

Kesatuan-kesatuan sekerja yang menerajui tindakan industri dalam satu kenyataan bersama berkata, perarakan di seluruh Perancis mencerminkan “penolakan besar-besaran” pembaharuan sistem pencen yang mahu dilakukan oleh Macron.

Mereka mendesak supaya pembaharuan pencen itu ditarik balik.

“Jika ia tidak ditarik, tidak akan ada pendamaian,” kata kesatuan.

Kesatuan sekerja terbesar Perancis, CFDT yang cukup berpengaruh di sektor swasta, menyertai protes buat kali pertama pada Selasa walaupun ia tidak menandatangani kenyataan itu.

Kira-kira 615,000 orang pekerja menyertai dan perarakan pada hari Selasa.

Tetapi Kementerian Dalam Negeri mengatakan penyertaan menurun dengan ketara berbanding hari pertama protes pada 5 Disember yang disertai oleh 806,000 orang dan jumlahnya lebih tinggi di Paris. – MalaysiaGazette