KUALA LUMPUR – Kontrak syarikat konsesi pembekal ubat-ubatan dan peralatan perubatan Pharmaniaga Logistic Sdn Bhd (Pharmaniaga) dengan Kementerian Kesihatan yang berakhir 30 Nov lepas dilanjutkan selama 25 bulan lagi agar peralihan kepada syarikat baharu dapat berjalan lancar, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan (KKM) Dr Lee Boon Chye berkata, selain melancarkan proses peralihan yang akan dibuat menerusi tender terbuka, perlanjutan kontrak berkenaan juga bagi memastikan bekalan ubat dan peralatan tidak terputus.

“Kontrak tersebut tamat pada 30 Nov dan telah dilanjutkan selama 25 bulan supaya kita boleh buat peralihan. Peralihan dibuat agar semua 700 jenis ubat tersebut (yang dibekalkan oleh Pharmaniaga) akan dibuat secara tender terbuka dan membolehkan kita mendapatkan bekalan ubat dan sebagainya.

“Dari segi logistik telah diputuskan untuk dilanjutkan kepada lima tahun. Oleh itu saya rasa tidak bangkit isu berkenaan dari segi bekalan ubat kepada fasiliti di bawah kementerian,” katanya menjawab soalan Senator Rahimah Mahamad pada sesi pertanyaan jawab lisan.

Beliau berkata Pharmaniaga berperanan mengendalikan kira-kira 700 senarai ubat-ubatan yang merupakan senarai pra-kelulusan serta membekalkan logistik bagi keperluan semua ubat dan bekalan kepada semua fasiliti di bawah kemeneterian itu.

Menjawab soalan Senator Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin tentang kajian terhadap klinik desa untuk dinaik taraf oleh kementerian itu, Dr Lee berkata naik taraf klinik desa kepada klinik kesihatan adalah perancangan KKM bermula dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) namun ia akan dilaksanakan mengikut keutamaan dan bergantung kepada kedudukan kewangan semasa kerajaan.

“Naik taraf klinik desa kepada klinik kesihatan juga akan melibatkan penambahan bilik-bilik rawatan, peralatan perubatan dan anggota kesihatan sesuai dengan keperluan klinik tersebut dalam mengimbangi pertambahan populasi serta kedatangan pesakit,” jelasnya. – MalaysiaGazette