Mohd Afzanizam Abdul Rashid

KUALA LUMPUR – Para pelabur perlu realistik dengan kadar agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang akan diumumkan Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) hari ini berikutan persekitaran pasaran saham tempatan yang amat mencabar ketika ini.

Sejak awal tahun 2019, indeks penanda aras FBMKLCI telah menurun sebanyak 7.2 peratus.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kadar agihan dividen ASB yang melebihi kadar deposit tetap Maybank 12 bulan, yang mana ketika ini sekitar 3.1 peratus sudah boleh dikira bagus memandangkan prestasi  semasa Bursa Malaysia yang sangat lemah.

Jelasnya, berdasarkan laporan tahunan ASB 2018, penanda aras tabung adalah berdasarkan Kadar Deposit Tetap Maybank 12 bulan, justeru sebarang kadar yang diumumkan oleh ASNB seharusnya melebihi kadar pulangan deposit tetap tersebut.

Tambah Afzanizam, objektif pelaburan ASB adalah untuk menjana  pulangan  jangka panjang yang kompetitif dan konsisten, di samping pengekalan modal toleransi risiko yang minimum.

Dalam hal ini, pelaburan ASB perlu diselaraskan dengan hukum pelaburan serta objektifnya, yang bermakna risiko pelaburan perlu diambil kira secara holistik supaya pulangan pelaburan yang dihasilkan adalah konsisten.

“Ini bermaksud pihak PNB begitu berhati-hati dalam melaksanakan kegiatan pelaburan mereka, yang banyak dibantu oleh pasukan penyelidik pelaburan dan pengurus dana yang berpengalaman.

“Selain itu, hukum pelaburan adalah semakin tinggi pulangan maka semakin tinggilah risiko pelaburan,” katanya lagi.

Tahun lepas, ASNB mengumumkan agihan pendapatan ASB sebanyak 6.50 sen seunit dengan bonus sebanyak 0.50 sen seunit manakala pada 2017, agihan pendapatan ASB adalah 7.00 sen seunit dengan bonus sebanyak 0.25 sen seunit.

Kira-kira jam 2 petang ini, ASNB akan mengumumkan agihan pendapatan ASB 2019 yang akan disiarkan secara langsung oleh MalaysiaGazette menerusi laman portal www.malaysiagazette.com.- MalaysiaGazette

2 Komen

  1. ph tak pandai melabur. dividen dapat semakin kurang. … mula dulu boleh bagi 10% . negara tak perlu buat pinjaman luar. boleh cetak duit sendiri atas devidin tinggi. tanya tun tengok

Comments are closed.