Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Jalil Rasheed foto FAREEZ FADZIL, 30 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR- Permodalan Nasional Bhd. (PNB) perlu segera meningkatkan pelaburan ke luar negara kerana firma pengurusan dana terbesar negara itu telah mula ‘menyesakkan’ pasaran tempatan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Jalil Rasheed berkata, langkah tersebut bagaimanapun masih perlu dilakukan secara berhati-hati dan berstruktur.

Katanya, PNB sedang meninjau pasaran rantau Asia di samping pasaran berbeza di Eropah bagi melebarkan sayap pelaburan mereka ke luar negara.

“Kita boleh memiliki dana sebanyak RM500 bilion atau RM1 trilion sekali pun tetapi kita perlu keluar dengan segera.

“Kami mempunyai pegangan dalam Maybank dan Sime Darby yang mana mereka boleh membantu PNB secara strategik.

“Jadi, sekarang apa yang PNB perlu lakukan adalah melabur wang tersebut ke luar negara. Saya rasa ianya sesuatu yang telah kami fikirkan sejak sekian lama,” katanya kepada pemberita di sini.

Jelas Jalil, PNB akan tetap meneruskan rancangan untuk melabur ke luar negara tetapi apa yang paling penting katanya adalah ianya mesti konsisten dengan profil risiko entiti berkenaan yang menjanjikan pulangan pada jangka masa panjang.

“Kami akan melabur ke luar negara dalam cara paling perlahan dan kukuh. Tiada sebab mengapa kami tidak boleh keluar.

“Kami boleh keluar dan melabur 20 peratus daripada wang kami di luar negara tetapi itu bukan cara yang betul.

“Kami akan buat secara beransur-ansur dan berstruktur kerana setiap sen yang kami laburkan perlu mendapat pulangan. Ini kerana kami hanya bersandar kepada keuntungan yang direalisasikan,” katanya lagi.

Tambah CEO muda itu, butiran terperinci mengenai pasaran dan strategi pelaburan luar negara PNB akan diumumkan ketika semakan pertengahan penggal STRIVE 15 tahun hadapan.- MalaysiaGazette