Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng menyifatkan dakwaan liar pihak tidak bertanggungjawab yang projek pembangunan Bandar Malaysia diteruskan seperti dahulu adalah tidak berasas selain sengaja mahu mengelirukan rakyat.

Menteri Kewangan itu berkata, kerajaan membuat keputusan untuk meneruskan semula projek pembangunan Bandar Malaysia dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM140 bilion setelah melakukan rundingan semula untuk mendapatkan terma terbaik untuk rakyat dan negara Malaysia dan membersihkan projek ini daripada unsur-unsur skandal 1MDB.

Hasil rundingan semula di antara Kementerian Kewangan dan pemaju swasta untuk projek bandar Malaysia, syarat-syarat kontrak telah pun berjaya ditambahbaik dan menguntungkan Malaysia, dengan nilai lebih daripada RM4 bilion.

“Seperti umum diketahui, Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan China Railway Engineering Corp (CREC) sebagai sebuah konsortium telah memenangi tender untuk membangunkan Bandar Malaysia pada tahun 2015.

“Namun pada Mei 2017, perjanjian ini telah dibatalkan oleh pentadbiran terdahulu apabila skandal 1MDB mulai terbongkar.

“Setelah proses detoksifikasi dijalankan oleh kerajaan baru ke atas projek ini terhadap unsur-unsur skandal 1MDB, maka
keputusan dibuat untuk meneruskan semula perjanjian tersebut bila terbukti ia masih berupaya menjana manfaat ekonomi terhadap pembangunan dalam bandar bagi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan Perjanjian Rangka Kerja pada 25 April 2019, Jemaah Menteri telah meluluskan penubuhan Jawatankuasa Penasihat Pembangunan Bandar Malaysia bawah Kementerian Kewangan untuk merunding semula terma-terma baharu yang lebih baik bagi memastikan projek ini benar-benar manfaatkan negara dan rakyat Malaysia.

Tambahnya, berbanding perjanjian asal yang dirunding oleh kerajaan terdahulu, perjanjian baharu yang ditandatangani hari ini mengandungi terma-terma yang ditambah baik.

Jelas sekali hasil rundingan semula perjanjian Bandar Malaysia lebih bermanfaat kepada kerajaan dan rakyat Malaysia, khususnya tambahan 5,000 unit rumah mampu milik kepada 10,000 unit dan tambahan kawasan taman hijau daripada 48.6 ekar kepada 85 ekar. – MalaysiaGazette