Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi membela diri dalam kes perbicaraan SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 18 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Meskipun memiliki tiga akaun peribadi di Ambank namun Datuk Seri Najib Razak berkata, ia diuruskan oleh orang lain.

Justeru, bekas perdana menteri itu berkata, apa juga yang berlaku termasuk transaksi keluar masuk wang daripada mana-mana akaun bank itu bukan di bawah tanggungjawabnya.

Beliau berkata demikian semasa ditanya sama ada beliau bertanggungjawab secara peribadi terhadap apa yang berlaku di dalam akaun AmBank berakhir nombor 898, 906 dan 880.

Saya telah mewakilkannya kepada orang lain untuk menguruskan akaun itu. Saya tidak boleh dipertanggungjawabkan jika ada masalah,” katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, V. Sithambaram pada perbicaraan hari ini.

Ketiga-tiga akaun berkenaan memainkan peranan penting dalam kes pendakwaan RM42 juta SRC International terhadap Najib.

Kesemua akaun ini dipercayai berkait rapat dengan dana SRC International Sdn. Bhd.

Mengulas lanjut, Najib berkata, individu yang bertanggungjawab menguruskan semua akaunnya akan menerima isyarat sekiranya wujud transaksi keluar atau masuk wang yang mencurigakan.

Pemeriksaan balas kenyataan Najib hari ini dilihat tertumpu kepada peranan  Najib terhadap ketiga-tiga akaun yang dirujuk meskipun ia tidak diuruskan secara langsung oleh bekas Perdana Menteri itu sebaliknya dipertanggungjawabnan kepada bekas CEO SRC, Nik Faisal Ariff Kamil.

Pada awal perbicaraan Timbalan Pendakwa Raya itu dilihat tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Najib berhubung tandatanhannya pada dokumen berkaitan dengan SRC.

Sithambaram berkata, Najib tidak menjawab secara spesifik terhadap soalannya.

Najib dalam masa yang sama menepis cadangan Sithambaram bahawa derma daripada keluarga diraja Saudi rekaan semata-mata.

“Saya menganggap bahawa ada wang dari derma. Saya tidak dimaklumkan sebaliknya. Saya tidak setuju (cadangan bahawa derma itu untuk tutup cerita sebenar),” tambahnya.-MalaysiaGazette