Presiden Kebangsaan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai .

KUALA LUMPUR – Gerakan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang sebelum iniĀ  menolak permohonan melarang pelaksanaan tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil di negara ini minggu depan.

Presidennya Datuk Dominic Lau Hoe Chai berkata, rayuan itu akan dikemukakan oleh barisan penasihat undang-undang parti itu di mahkamah tinggi negeri sama ada pada Isnin atau Selasa depan.

Katanya, pihaknya akan mengemukakan beberapa perkara penting untuk mengukuhkan permohonan rayuan mereka bagi mencabar keputusan awal yang dibuat mahkamah itu yang membenarkan kerajaan dan Kementerian Pendidikan melaksanakan pengajaran Jawi di sekolah vernakular tersebut.

“Dalam Perlembagaan sudah termaktub bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan, tulisan rumi merupakan bahasa Melayu dan kami mahu mencabar bahawa mahkamah tidak boleh bercampur tangan dalam dasar pendidikan kerajaan yang sudah diiktiraf dengan melibatkan pandangan dan kepentingan pelbagai lapisan rakyat keseluruhannya.

“Malah sebelum ini kerajaan kata hanya persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) sekolah vernakular Cina dan Tamil di negara ini sebagai entiti berhak dibenarkan mengikut budi bicara untuk menentukan sama ada melaksanakan pengajaran tulisan Jawi di sekolah masing-masing atau sebaliknya.

“Jadi, dalam hal ini kami hendak mencabar kerajaan bahawa bukan PIBG tetapi hanya Lembaga Pengarah pengurusan sekolah sahaja ada hak dan kuasa autoriti undang-undang untuk menentukan mahu atau tidak melaksanakan pengajaran Jawi,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Katanya, berdasarkan tempoh 30 hari yang ada untuk mengemukakan rayuan dalam kes ini, dua peguam mewakili Gerakan akan ke mahkamah Tinggi sebelum sambutan hari Krismas.

“Ya, maksudnya peguam kami akan pergi failkan rayuan sebelum Krismas iaitu sama ada Isnin atau Selasa minggu depan,” ujarnya.

Tambah beliau, memandangkan Lembaga Pengarah pengurusan sekolah adalah didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), maka entiti itu yang mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan pelaksanaan tulisan Jawi di sekolah mereka.

Manakala katanya, input ketiga yang akan disertakan dalam rayuan untuk pertimbangan mahkamah dan semakan semula kehakiman ialah subjek tulisan Jawi di Sekolah Kebangsaan diajar di bawah Subjek Agama Islam bukan mata pelajaran Bahasa Melayu.

Menurutnya, tulisan Jawi di Sekolah Kebangsaan diajar dibawah subjek agama Islam dan bukan bahasa Melayu.

“Maka kami ingin menjelaskan bahawa sejak tulisan Jawi dibawah subjek agama di SK, maka ia tidak boleh dibenarkan dilaksanakan dalam BM di sekolah Cina dan Tamil selepas ini.

“Mudah kata, Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan bahawa, tidak seorang pun boleh dipaksa mempelajari atau menerima ajaran mana mana agama lain daripada agama sendiri seperti yang ditetapkan dalam dasar pendidikan serta Bab 7 Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya.

Pada 28 November lalu, Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang telah mengenepikan permohonan Gerakan untuk melarang pelaksanaan tulisan Jawi di sekolah vernakular dan membenarkan kementerian pendidikan dan kerajaan mengajar tulisan Jawi di sekolah kedua dua bahasa ibunda itu.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ni sekor lgi anjing bodoh ni.. Klu ko rasa tak blh nak ikut undang2 ngra aku, ko pi belah lah.. Aku tak hadap lh ko kat mlysia ni, tak fungsi ko kat mlysia klu duk nak tentang undang2 ngra aku… Dasar pendatang yg tak penah syukur nikmat hdp di mlysia..

Comments are closed.