Mohammed Nizham Abdullah Hamidi

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dicabar supaya mengemukakan bukti penambahbaikan terhadap terma projek Bandar Malaysia yang kini menjadi tumpuan meriah kerajaan.

Jika tidak, Guan Eng wajar untuk mengaku sahaja bahawa Barisan Nasional (BN) telah membuat tindakan yang tepat berkaitan projek berkenaan demi kepentingan rakyat, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi.

Beliau berkata, projek Bandar Malaysia seperti Tun Razak Exchange (TRX) kini diangkat oleh pentadbiran Pakatan Harapan sebagai satu projek yang menguntungkan negara dan berpaksikan rakyat.

“Saya cabar Menteri Kewangan, buktikan segala perkara yang dikatakan berbeza dengan zaman BN.

“Jangan pakai perkataan toksifikasi sekadar untuk meraih populariti dan menfitnah BN.

“Senaraikan segala penambahbaikan. Kalau berani berdebatlah dengan BN di dalam forum yang kami sanggup sediakan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohamed Nizham berkata, tuduhan-mengatakan bahawa BN tidak berpaksikan rakyat dalam projek itu merupakan satu gambaran tidak tepat sama sekali kerana sepanjang 62 tahun memerintah, parti itu sentiasa memikirkan hal berkaitan rakyat.

Ujarnya, tuduhan bahawa BN membatalkan perjanjian selepas mereka berjaya mencari kesalahan berkaitan 1MDB merupakan satu perkara yang tidak benar kerana pembatalan perjanjian itu adalah kerana BN mahukan negara menikmati keuntungan yang lebih baik daripada apa yang dipersetujui sebelum itu.

“Daripada menjual tanah secara outright, kita merasakan baik kita menjadi pemilik tanah dan menjual hak pembangunan. Kita masih punya hak ke atas tanah itu sebagai Master Developer,” ujarnya.

Tambah beliau, fakta yang penting untuk difahami adalh, benar BN menjual tanah kepada syarikat konsortium Malaysia- China tetapi ia telah dibatalkan atas sebab ingin memaksimakan keuntungan dan memilih untuk menjual hak pembangunan dan mengekalkan pemilikan tanah.

Malah katanya, Pakatan Harapan (PH) kini menjual balik sebahagian projek bandar Malaysia kepada konsortium yang sama pada April yang lalu.

Katanya lagi, apa yang dilakukan oleh PH hari ini tidak perlu dibanggakan kerana menjual projek berkenaan
sebahagiannya kepada Konsortium Malaysia-China adalah langkah kebelakang dan mundur.

Jelas, kerajan sepatutnya mengekalkan strategi pembangunan yang telah dibuat oleh BN kerana ia mampu memberikan pendapatan yang jauh lebih tinggi berbanding dengan apa yang
dibuat oleh PH hari ini.

“Masalah utama dengan PH adalah sentiasa melihat pulangan jangkamasa pendek dan bukan pulangan jangka panjang.

“Kalau mereka masih kekal mentadbir saya bimbang negara ini tidak akan mampu pergi jauh kehadapan dengan
potensi yang ada,” katanya. – MalaysiaGazette