Pengerusi KOP Mantap Berhad, Dato’ Seri Ayub Yaakob (Kanan) bertukar dokumen perjanjian MoU yang dimeterai bersama syarikat senjata api terkemuka Turki Pengerusi TISAS TRABZON, Ahmet Alemdaroglu disaksikan oleh Tun Mahathir dan Presiden Turki Erdogan dalam Sidang Kemuncak KL di Putrajaya hari ini.

KUALA LUMPUR – KOP Mantap Berhad, anak syarikat milik penuh Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM) mengorak langkah setapak lagi dalam industri keselamatan dan pertahanan negara dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) bersama syarikat pembuat senjata api terkemuka Turki, TISAS-TRABZON.

Majlis pertukaran MOU tersebut diadakan sempena KL Summit 2019 itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan di Putrajaya hari ini.

Pada majlis tersebut Pengerusi KOP Mantap Berhad, Dato’ Seri Ayub Yaakob dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KOP Mantap Berhad, Datuk Iskandar Datuk Abdul Malik bertukar dokumen MoU yang ditandatanganinya bersama Pengerusi TISAS TRABZON, Tuan Ahmet Alemdaroglu dan Timbalan Pengerusi TISAS-TRABZON, Tuan Abdullah Ardem.

KOP Mantap dalam kenyataan berkata, menerusi perjanjian itu sebuah kilang pembuatan dan pemasangan senjata api yang pertama bakal dibangunkan di negara ini.

Katanya, ia akan dilaksanakan melalui pertukaran teknologi daripada TISASTRABZON kepada KOP Mantap Berhad dengan kerjasama IDC Technologies Sdn Bhd.

Projek berkenaan bertujuan  memastikan bekalan senjata api untuk kegunaan anggota keselamatan sentiasa mencukupi sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap negara luar.

Selain itu, kata KOP Mantap lagi, projek terbabit juga menyasarkan menembusi pasaran antarabangsa khususnya negara-negara Asean.

KOP Mantap Berhad juga katanya, akan melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) mengikut teknologi semasa serta menyediakan latihan kepada penggiat dalam industri tersebut. – MalaysiaGazette