Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dijangka mengeluarkan senarai muktamad penerima Program Subsidi Petrol (PSP) pada Februari depan, kata Timbalan Menteri berkenaan Chong Chieng Jen.

Beliau berkata, pengumuman berhubung perkara itu akan dibuat kementerian berkenaan menerusi satu kenyataan rasmi setelah pemurnian data itu selesai dilaksanakan.

“Berdasarkan data yang diterima daripada program Bantuan Sara Hidup (BSH) dan disilang semak mengikut data pemilik kenderaan yang diterima daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sejumlah 2.9 juta individu layak menerima bantuan daripada program ini.

“Sementara itu, 346,491 penerima PSP yang layak telah menyemak dan/atau mengemas kini maklumat akaun bank mereka, manakala 480,317 individu yang tidak layak telah mengemukakan rayuan melalui portal PSP,” katanya pada sesi pertanyaan jawab lisan persidangan Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datin Rahimah Mahamad yang ingin tahu jumlah berdaftar penerima PSP dan jumlah permohonan rayuan yang diterima bagi memuktamadkan jumlah sebenar penerima subsidi yang layak dalam PSP.

Chong yang juga Ahli Parlimen Stampin berkata, pada masa ini kementerian itu sedang melaksanakan semakan maklumat rayuan yang diterima dengan data daripada program BSH, JPJ dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Katanya, tempoh semakan dan rayuan bagi PSP dilakukan melalui portal PSP iaitu sp.kpdnhep.gov.my yang dijalankan pada 15 Okt hingga 30 Nov lepas. – MalaysiaGazette