Seorang remaja ditembak mati oleh rakannya di depan kelas, di Nonthaburi, semalam.

NONTHABURI – Seorang remaja lelaki 13 tahun menembak mati rakan sekelasnya yang telah didakwa membuli dan menghinanya berulang kali dengan panggilan ‘toot’ (pondan) di sebuah sekolah di daerah Muang, pagi semalam.

Kakitangan kecemasan menemui mangsa, Chonlasit Boonchan, 13, terbaring dengan kesan darah di hadapan kelas.

Terdapat kesan tembakan di sebelah kanan dahi.

Guru-guru dan pasukan medik memberi bantuan pernafasan kepada mangsa tetapi gagal menyelamatkannya.

Suspek telah ditangkap dan ditahan.

Polis menemui pistol 7.65mm di dalam beg sandangnya.

Dalam siasatan awal, remaja berkenaan memberitahu polis bahawa Chonlasit kerap membulinya dengan menampar kepala dan memanggilnya ‘lady boy’ (pondan).

Penghinaan dan cacian yang berulang kali dihadapinya menyebabkan remaja berkenaan hilang sabar.

Dia bertindak mengambil pistol bapanya dan menembak Chonlasit ketika mangsa sedang menanggalkan kasutnya untuk memasuki kelas.

Suspek kemudian berlari ke tandas untuk menyalin pakaian sebelum melarikan diri tetapi berjaya ditangkap oleh guru-guru dan para pelajar.

Remaja berkenaan memakai topeng hitam, baju-T dan sarung tangan ketika melepaskan tembakan dan mahu menukar pakaian sekolah selepas menembak mangsa. – MalaysiaGazette