KUALA LUMPUR – Filem Ejen Ali The Movie menguasai carta perfileman tempatan setelah hampir tiga minggu ditayangkan di pawagam walaupun menerima saingan sengit daripada filem-filem antarabangsa yang lain.

Filem terbitan bersama Primeworks Studios dan WAU Animation, berjaya mengungguli carta filem pecah panggung dengan meraih kutipan sebanyak RM25 juta di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Datuk Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios berkata, pihaknya amat gembira di atas sokongan yang diterima.

Katanya, sambutan ‘luar biasa’ yang diterima daripada penonton di Malaysia membuka ruang dan peluang kepada Primeworks Studios untuk terus berkembang serta melebarkan sayap ke negara jiran, Indonesia.

Sementara itu, Usamah Zaid Yasin, Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation pula berkata, pencapaian luar biasa filem Ejen Ali The Movie di Malaysia telah mewujudkan gelombang fenomena yang turut dirasakan di Indonesia.

“Kami menerima pelbagai respon dari peminat-peminat di Indonesia. Rata-rata dari mereka bertanya akan tarikh tayangan filem Ejen Ali The Movie di pawagam Indonesia.

“Bukan itu sahaja, seorang peminat tegar Ejen Ali sanggup terbang dari Indonesia ke Malaysia semata-mata kerana ingin menonton filem Ejen Ali The Movie Kami merasa sangat terharu dengan sokongan yang diterima dan hari ini, kami membuat pengumuman rasmi tentang tarikh tayangan filem Ejen Ali The Movie di Indonesia,” katanya.

Sempena kedatangan tahun baru 2020, Ejen Ali The Movie mengumumkan tayangannya di pawagam terpilih Indonesia bermula 1 Januari 2020 iaitu di CGV, Flix cinemas, Kota Cinema dan Cinemax.

Pelbagai kandungan eksklusif dari filem Ejen Ali The Movie telah dimuatnaik di platform digital. Bermula dengan ‘lip-sync’ lagu bergenre rap, Bukalah Matamu yang menampilkan Ejen-Ejen muda dari MATA Academy, yang mana video ini telah meraih lebih dari 300,000 jumlah tontonan dalam masa sehari di laman YouTube.

Selain dari itu, atas permintaan ramai, skor muzik OST (Original Soundtrack) lagu ‘Mama’ yang diambil dari salah satu adegan yang telah berjaya meruntun jiwa penonton yang mana ia mempamerkan kesedihan Ali sewaktu meratapi pemergian ibunya, mula ditayangkan di Youtube pada hari Jumaat, 20 Disember 2019.

Lagu ‘Mama’ telah dinyanyikan oleh Ida Rahayu Yusoff yang juga merupakan pelakon suara latar bagi watak Ejen Ali. – MalaysiaGazette