Datuk Seri Rina Harun

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah menerima sebanyak 80,319 permohonan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk pengambilan Tingkatan 1 bagi sesi kemasukan tahun 2020.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, permohonan terbaharu untuk institusi bumiputera berasaskan sistem pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di bawah penyeliaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu meningkat berbanding jumlah permohonan yang diterima pengambilan tahun lalu iaitu 75,000.

“Kita sebenarnya telah menerima permohonan sebanyak 80,319 permohonan pelajar berbanding 75,000 permohonan sebelum ini tetapi tempat yang ditawarkan tidak berubah dan masih sama iaitu 7,628 tempat sahaja.

“Setakat ini, kira-kira 300 orang sahaja didapati menolak tawaran tersebut ini tidak termasuk rayuan yang belum diteliti lagi dan nampaknya respond begitu baik walaupun tarikh tutup permohonannya 30 November lalu dan itulah paling lewat ditutup.

“Bagaimanapun, dalam tempoh dua minggu sahaja kita berjaya mengumumkan kemasukan pelajar MRSM kerana kita mahu memberi peluang kepada ibu bapa dan penjaga membuat persiapan awal untuk 2020,” katanya kepada selepas majlis Pasar Sentuhan Sri Kandi di Kampung Bukit Sungai Bersih, Lembah Jaya di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Wanita PKR, Haniza Talha yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya.

Tambah Rina, seperti biasa, MRSM mengutamakan pengambilan 60 peratus pelajar golongan miskin B40 untuk memastikan persaingan lebih sihat.

Manakala untuk pengambilan pelajar Tingkatan 4 MRSM, sebanyak 20,000 permohonan telah diterima untuk sekitar 4,000 tempat yang disediakan dan keputusannya akan diumumkan dalam sedikit masa lagi.

“Ia boleh memudahkan mereka mendaftar pada 6 Januari 2020 nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rina juga bersedia membantu memperluaskan program Pasar Sentuhan Sri Kandi melibatkan para peniaga yang menjual barang keperluan asas pada harga berpatutan kepada masyarakat.

Program julung kali yang dilaksanakan di Kampung Bukit Sungai Bersih, Lembah Jaya itu akan diperluaskan ke 11 kampung lagi di sekitar Ampang.

“Ini kali pertama diadakan tetapi bukan yang terakhir dan akan diteruskan lagi pada bulan-bulan akan datang dengan mengumpulkan peniaga-peniaga yang boleh memberi harga berpatutan untuk barang kering dan basah keperluan asas.

“Program seumpama juga sudah dianjurkan di Titiwangsa dan sambutan rakyat akan bertambah pada masa akan datang dan inisiatif kita sudah pastinya memanfaatkan rakyat,” tegasnya. – MalaysiaGazette