Isham Jalil
Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Presiden Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil mendakwa kerajaan hari ini tidak lagi memandang serius terhadap masalah ekonomi bumiputera.

Beliau berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi beberapa pengumuman yang dibuat oleh kerajaan dengan terbaru melibatkan Permodalan Nasional Berhad terhadap bonus Amanah Saham Bumiputera (ASB).

“Kelmarin Permodalan Nasional Berhad, syarikat pelaburan kerajaan telah mengumumkan dividen dan ASB sebanyak 5.5 peratus iaitu yang terendah dalam sejarah ASB sejak tahun 1990.

“Pada bulan September lepas kerajaan juga telah mengumumkan dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sebanyak 2 peratus iaitu yang terendah dalam sejarah LTAT sejak tahun 1973.

“Dan sebelum itu pada bulan April tahun ini Kerajaan juga telah mengumumkan hibah Tabung Haji sebanyak 1.25 peratus iaitu hibah yang juga terendah dalam sejarah Tabung Haji,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Isham berkata, hampir semua pemegang-pemegang saham dan pelabur-pelabur dalam ASB, Tabung Haji serta LTAT merupakan Bumiputera yang melabur dalam institusi berkaitan kerajaan yang sebelum ini ditubuhkan untuk membantu meningkatkan ekuiti dan pegangan ekonomi Bumiputera.

Ujarnya, walaupun sebelum ini negara pernah berhadapan dengan beberapa krisis ekonomi terutama pada tahun 1997-1999 dan 2008-2009, namun, pulangan dividen bagi institusi-institusi ini tidak pernah seteruk ini.

“Pada tahun 1997 hingga 1998 ketika ekonomi tidak menentu dan indeks Bursa Saham Kuala Lumpur terhempas daripada 1,200 mata ke paras 261 mata dan aliran modal lari keluar ke luar negara, kerajaan tetap membayar dividen dan bonus ASB sebanyak 10.25 peratus, LTAT 10.5 peratus dan hibah Tabung Haji 8 peratus.

“Pada tahun 2008 ketika ekonomi dunia dilanda krisis dan indeks Bursa Saham Kuala Lumpur sekali lagi jatuh daripada paras setinggi 1,400 mata ke paras 800 mata, kerajaan masih berjaya membayar dividen dan bonus ASB sebanyak 8.75 peratus, LTAT 10 pertus dan hibah Tabung Haji 5 peratus.

“Kini pulangan bagi pelaburan institusi-institusi ini adalah hanya ASB 5.5 peratus, LTAT dua peratus dan Tabung Haji 1.25 peratus,” ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan, jika perkara itu berterusan, adakah pelabur masih berminat untuk melabur dalam institusi-institusi ini atau adakah mereka akan mengeluarkan wang mereka ke tempat lain?

“Jika ini berlaku, apakah yang akan jadi kepada institusi-institusi pelaburan kerajaan ini yang sebelum ini bertanggungjawab menggalakkan pegangan ekonomi bumiputera?

“Dan apakah yang akan jadi kepada keseluruhan pegangan ekuiti bumiputera di negara ini?” soalnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.