Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan berucap pada Majlis Penutup Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 21 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR- Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mahu negara-negara Islam bukan sahaja menumpukan kepada pembangunan negara masing-masing tetapi turut ambil peduli terhadap umat Islam yang tidak mempunyai negara.

Titah baginda, dunia sekarang sedang berhadapan dengan krisis pelarian yang semakin meningkat di mana lebih ramai pelarian pada hari ini berbanding ketika berakhirnya Perang Dunia Kedua.

Tambah baginda, mengikut laporan-laporan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian menunjukkan terdapat 70 juta orang telah diusir dari negara sendiri dan daripada jumlah berkenaan, 26 juta adalah pelarian manakala hampir 10 juta datang daripada negara-negara yang majoriti Muslim.

“Sejak beberapa hari lalu, matlamat akhir perbincangan kita adalah bagaimana untuk membangunkan dan meningkatkan kedaulatan negara.

“Bagaimanapun, ketika beta memikirkan subjek kedaulatan negara yang dibincangkan dalam persidangan ini, beta berulang-kali bertemu dengan persoalan: tetapi bagaimana dengan orang tanpa negara?

“Apa nasib ummah, saudara-saudara se-Islam kita yang diusir daripada rumah masing-masing dan terpaksa meninggalkan tanahair sendiri disebabkan oleh kekejaman, konflik dan kezaliman?” titah baginda ketika menyampaikan ucapan penutup Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di sini hari ini.

Dengan tegas, Sultan Nazrin bertitah, perbincangan sepanjang sidang kemuncak yang berlangsung selama tiga hari itu tidak lebih daripada pesta bercakap sekiranya usul-usul yang dibincangkan tidak ditukar kepada dasar dan tindakan.

“Kegagalan untuk menterjemahkan perbincangan tersebut kepada dasar-dasar dan tindakan adalah satu kegagalan menggunakan sepenuh peluang daripada dialog-dialog dan hubungan yang bermula di persidangan ini.

“Ini akan menyebabkan persidangan ini tidak lebih sekadar pesta bercakap.

“Dengan itu, beta benar-benar berharap supaya pada pertemuan akan datang, para delegasi boleh fokus kepada progres yang telah dilaksanakan,” titah baginda lagi.

Titah Sultan Nazrin, rakyat malang tersebut terpaksa mencari perlindungan kerana kegagalan negara-negara untuk melindungi mereka daripada bom dan peperangan.

“Jutaan orang termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua terpaksa menahan penderitaan dan penindasan.

“Bagaimana kita boleh berbincang megnenai kedaulatan negara dan pembangunan untuk membantu mereka?” soal baginda.

Tambahnya, Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 telah berjaya mencari sebahagian penyelesaian untuk menangani punca utama mengapa berlakunya isu pelarian.

Selepas ini, sebuah pembangunan yang komprehensif dan lestasi perlu diberi tumpuan supaya dapat membasmi kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup.- MalaysiaGazette