KUALA LUMPUR – Kerajaan Johor memutuskan untuk menaikkan kadar elaun tetap bulanan ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri itu berkuatkuasa 1 Januari depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor Tan Chen Choon berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira faktor kos sara hidup kini yang semakin meningkat, perbandingan kadar-kadar elaun tetap bulanan ahli-ahli Majlis di sebahagian PBT di Semenanjung Malaysia serta kekuatan kewangan PBT di negeri ini.

“Berkuasa 1 Januari 2020, kadar baharu elaun tetap bulanan Ahli Majlis bagi taraf Bandaraya adalah RM1,800 berbanding RM900 kadar semasa, Perbandaran (RM1,300 berbanding RM800) dan Daerah (RM1,000 berbanding RM600),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tan berkata, kali terakhir elaun tetap bulanan ahli-ahli Majlis PBT disemak dan diluluskan kenaikannya oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor adalah pada tahun 2015.

Beliau berkata keputusan menaikkan kadar elaun tetap bulanan Ahli Majlis adalah sebagai pengiktirafan terhadap kepentingan dan sumbangan ahli-ahli majlis dalam meningkatkan sistem penyampaian PBT khusus di kawasan bandar selain peranan serta tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh setiap Ahli Majlis dalam perancangan dan pembangunan PBT yang semakin mencabar.

Sementara itu, menerusi kenyataan berasingan, Tan berkata, tempoh perkhidmatan 346 orang Ahli Majlis dan 53 orang Whip parti di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri ini yang akan berakhir 31 Dis ini akan dilanjutkan sehingga 31 Mac dan 30 Jun tahun depan.

Beliau berkata, ini diputuskan pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor, 11 Dis lepas.

“Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Johor bertarikh 11 Disember 2019 telah mengambil keputusan bahawa tempoh perkhidmatan Ahli-Ahli Majlis dan Whip Parti sedia ada di PBT negeri Johor yang mewakili parti komponen Pakatan Harapan (DAP, PKR dan Amanah) akan dilanjutkan sehingga 31 Mac 2020.

“Manakala tempoh perkhidmatan Ahli-Ahli Majlis dan Whip Parti sedia ada di PBT Negeri Johor yang mewakili parti komponen Pakatan Harapan iaitu Parti Bersatu akan dilanjutkan sehingga 30 Jun 2020 disebabkan proses pemilihan parti akan berakhir pada April 2020.

“Dengan erti kata lain, pelantikan Ahli Majlis baru sesi 2020/2021 untuk parti komponen Pakatan Harapan (DAP, PKR dan Amanah) akan bermula 1 April 2020 manakala Bersatu bermula pada 1 Julai 2020,” katanya kenyataan itu.

Tan berkata, namun, pelanjutan tempoh perkhidmatan Ahli-Ahli Majlis dan Whip Parti PBT yang sedia ada adalah tertakluk kepada Ahli Majlis dan Whip Parti berkenaan yang tidak menerima jawatan sebagai Pengerusi Jawantankuasa Penyelarasan Khas DUN.

Beliau berkata Ahli Majlis dan Whip Parti yang tidak berhasrat untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan mereka boleh menulis surat kepada Datuk Bandar atau Yang Dipertua PBT masing-masing bagi peletakan jawatan mereka. – MalaysiaGazette