Ramkarpal Singh

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh mempertahankan pimpinan parti DAP yang mengkritik terhadap kes berkaitan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Sambil menuding kenyataan yang dibuat oleh peguam, Haniff Khatri Abdulla yang mencadangkan mereka tidak mengeluarkan komen mengenai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau SOSMA kerana ia tidak membantu imej kerajaan yang mahu menegakkan kedaulatan undang-undang.

Beliau berkata, Haniff sepatutnya menegur kegagalan gabungan pemerintah memenuhi janji memansuhkan peruntukan-peruntukan tertentu dalam SOSMA.

Ramkarpal turut menyifatkan bahawa undang-undang yang diguna pakai berkaitan SOSMA itu sebagai drakonian.

“Pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang, P Ramasamy dan saya akan terus mengkritik Sosma.

“Jika Pakatan Harapan (PH) menentang Sosma sebelum pilihan raya umum ke-14, saya tidak nampak kenapa ia tidak menentangnya sekarang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ramkarpal turut menegaskan kenyataan Haniff itu jelas menunjukkan bahawa peguam itu tidak betul-betul tahu tentang janji-janji PH sebelum ia mengambil alih kuasa kerajaan persekutuan.

Sebelum ini, Haniff dilapor berkata, kenyataan-kenyataan pemimpin DAP terhadap siasatan polis berhubung kes LTTE, yang menyaksikan tuga ahli parti DAP yang ditahan di bawah SOSMA memberi gambaran kerajaan cuba mengganggu siasatan. – MalaysiaGazette