Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bercakap kepada media pada Pertandingan Bola Sepak Piala Yb Zuraida Kamaruddin di Padang Bola Sepak Tasek Tambahan, Ampang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 22 DISEMBER 2019

AMPANG – Kadar bayaran elaun bulanan kepada ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bergantung kepada kemampuan dan pendapatan badan itu.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, kadar elaun itu tidak ditentukan oleh kementeriannya.

“Kenaikan elaun ahli majlis tertakluk kepada kapasiti PBT itu sendiri bukan daripada kementerian.

“Ketika ini kita biarkan dulu di peringkat PBT menentukan kadar eluan.

“Tapi kalau PBT itu meningkat pendapatannya sudah tentu mereka boleh beri elaun tinggi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau mengulas langkah Kerajaan Negeri Johor menggandakan elaun bulanan untuk semua ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru dari RM900 kepada RM1, 800 mulai 1 Januari depan.

Menurut Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon, bagi ahli majlis perbandaran pula, elaun mereka dinaikkan kepada RM1,300 daripada RM800, manakala ahli majlis daerah, dari RM600 kepada RM1,000.

Dalam pada itu, Zuraida sebaliknya berkata, pihaknya tidak bercadang untuk membuat penyelarasan kadar elaun ahli majlis kerana pendapatan setiap PBT itu berbeza-beza.

“Kementerian melihat perlu ada satu penyelarasan, tapi saya pun tidak boleh buat satu penyelarasan juga.

“Ini kerana ada PBT yang lemah PBT yang masih tidak mampu dan KPKT juga tidak mampu menampung,” katanya.

Katanya lagi, kenaikan kadar elaun bulanan itu oleh Kerajaan Negeri Johor selaras dengan prestasi ahli majlis di bawah Pakatan Harapan (PH).

“Ahli majlis yang berada di bawah Kerajaan PH mereka kerja sepenuh masa bukan kerja setakat datang mesyuarat sahaja dan tidak turun padang.

“Jadi ahli majlis di bawah PH mereka jalankan tugas, turun padang, tengok masalah rakyat. Jadi tak ada isu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette