Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Penutupan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih hari ini bukan berpunca daripada pencemaran bau operasi rawatan air sisa kumbahan yang dijalankan di Loji Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK), sebaliknya disebabkan pembuangan sisa secara haram berdekatan loji berkenaan.

IWK dalam kenyataan malam ini memaklumkan perkara itu dikenal pasti hasil pemeriksaan bersama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di Loji Olahan Air Sisa Kumbahan Bandar Putera Mahkota, Cheras selepas menerima laporan tentang perkara itu pagi tadi.

“Hasil siasatan mendapati terdapat bau yang bukan bahan kumbahan di bahagian kebuk masuk loji dan ekoran bau itu, pasukan terpaksa menghentikan pelepasan efluen buat sementara waktu dan operasi pembersihan segera dilaksanakan.

Pada jam 7 malam ini, tiada lagi sebarang bau daripada aliran air kumbahan yang masuk ke dalam kebuk masuk loji berkenaan,” kata IWK.

“Pada masa yang sama pihak SPAN, LUAS dan petugas IWK telah membuat pemeriksaan di lurang pembentungan sekitar kawasan itu dan mendapati bahan sisa buangan haram dengan bau pelarut. Kejadian ini adalah sama dengan insiden yang berlaku pada September lepas,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, katanya loji-loji rawatan kumbahan IWK tidak dapat merawat sisa haram yang masuk ke dalam loji kerana ia hanya mampu merawat sisa kumbahan sahaja, dan berikutan itu IWK telah membuat laporan di balai polis berdekatan bagi mengesan dalang yang terlibat.

Kenyataan itu turut memaklumkan adalah amat mendukacitakan apabila pelbagai pihak menuding jari terhadap IWK tentang kejadian itu sedangkan ia sebenarnya berpunca daripada mereka yang tidak bertanggungjawab membuang sisa haram di situ.

Perkara tersebut memberikan imej negatif terhadap keupayaan syarikat dalam menjalankan tanggungjawab merawat air kumbahan.

Tegas kenyataan itu IWK akan sentiasa memastikan kerja-kerja operasi dan penyelenggaraan di semua 7,000 buah loji di bawah seliaan IWK mengikut spesifikasi dan prosedur ditetapkan pihak berkuasa.

Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya hari ini ekoran insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih, menjejaskan 348 kawasan dengan akaun pengguna sebanyak 328,957 di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

— BERNAMA