KUALA LUMPUR – Pembuangan sisa secara haram ke dalam lurang (lubang periksa) kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) oleh pihak tidak bertanggungjawab dikenalpasti menjadi punca pencemaran bau kepada sumber bekalan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam kenyataan hari ini menyebut, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang melakukan perbuatan sangat tidak boleh diterima itu.

“Pelaku yang akan dikenal pasti kelak bakal diambil tindakan tegas berdasarkan Akta Industri Perkhidmatan Air (Akta 655),” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut, selepas siasatan selesai, kes tersebut akan dihantar kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas semalam, bagi mengelak air terawat yang disalurkan kepada pengguna terjejas. Ia menyebabkan gangguan kepada lebih 1.5 juta pengguna di sebahagian kawasan Hulu Langat, Sepang, Putrajaya, Petaling Jaya dan Kuala Langat.

Kenyataan itu turut memaklumkan, SPAN dan semua pihak berkaitan termasuk Lembaga Urus Air Selangor, Jabatan Alam Sekitar, pihak pengurusan Air Selangor dan IWK Sdn Bhd sedang berusaha mengatasi masalah yang berlaku supaya LRA Sungai Semenyih boleh beroperasi semula dalam waktu terdekat.

SPAN juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak terlibat pada esok (23 Disember) untuk mencari kaedah terbaik bagi pencegahan awal dalam mengawal pembuangan haram yang boleh menyebabkan penutupan LRA pada masa depan. – MalaysiaGazette