Allahyarham Nazrin Hassan

SHAH ALAM – Saksi pendakwaan ke-15 kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau belum pernah menjumpai kes kebakaran berpunca daripada letupan telefon jenis Blackberry.

Pegawai penyiasat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Abdul Halim Zulkefeli berkata beliau juga ada membuat kajian, bagi memastikan jika pernah wujud kes letupan telefon jenis itu, sehingga menyebabkan kebakaran sebelum ini namun tidak menjumpainya.

Menurut Abdul Halim, ketika menyiasat kes kebakaran yang berlaku di bilik tidur Nazrin pada 14 Jun 2018, beliau ada bertanya kepada isteri lelaki itu, Samirah Muzaffar, 44, mengenai telefon bimbit mangsa.

Katanya, Samirah memberitahu, Nazrin mempunyai banyak telefon bimbit termasuk jenis Blackberry menyebabkan beliau membuat kajian mendalam jika wujud kes kebakaran melibatkan peranti berkenaan.

“Sepanjang pengetahuan saya (sejak berkhidmat sebagai pegawai bomba), memang tiada (kes kebakaran melibatkan telefon bimbit Blackberry),” katanya ketika menjawab soalan Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Datuk Salim Soib@Hamid di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Ditanya oleh Salim bagaimana kajian yang dilakukan oleh pegawai bomba itu, Abdul Halim berkata siasatannya adalah berdasarkan kepada enjin pencarian Google.

Salim : Encik Halim sudah menyiasat banyak kes kebakaran. Ada tak kebakaran elektronik berpunca daripada telefon bimbit atau bateri telefon terbakar

Abdul Halim : Tiada

Salim : (Jadi) Encik Halim tidak setuju dengan cadangan peguam sebelum ini mengatakan telefon bimbit meletup

Abdul Halim : Ya

Salim : (Sambil merujuk kepada gambar lokasi kejadian yang dikemukakan kepada mahkamah) Adakah telefon bimbit meletup boleh menyebabkan kesan tompokan pada dinding

Abdul Halim : Tidak, sebab kesan tompokan itu adalah akibat kebakaran, bukan letupan telefon (bimbit).

Salim : Kalau letupan apa-apa pun, bagaimana coraknya

Abdul Halim : Jika berlaku letupan, mungkin akan terdapat serpihan benda berkecai, akan terdapat barang-barang bertaburan dan di situ memang akan nampak kesan letupan. Bagi kes ini, tiada kesan-kesan tersebut. Tiada kesan berkecai atau pecah.

Salim : Merujuk kepada bateri (telefon Blackberry), adakah keadaan bateri itu menunjukkan ia meletup

Abdul Halim : Tidak, (hanya) keadaan fizikalnya (luaran) yang teruk berbanding dalamannya. Ini menunjukkan bateri (telefon itu) tidak mengalami sebarang letupan atau mencetuskan kebakaran. Bentuk bateri pun masih boleh di cam. Kalau berlaku letupan, nak cam pun tak boleh sebab ia berubah bentuk dan berkecai.

Dalam pada itu, ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Asyraf Ashy’ri Kamaruzzaman mengapa beliau tidak bersetuju dengan animasi bagaimana kejadian berlaku yang dikemukakan oleh pihak pembelaan di mahkamah, Abdul Halim berkata ia berikutan kedudukan bahan bukti dalam tayangan itu tidak sama seperti mana ditemuinya.

Kata beliau, tayangan animasi itu menunjukkan telefon bimbit mangsa berada di tepinya sedangkan semasa melakukan penyiasatan, peranti itu dijumpai pada kedudukan yang berbeza.

Malah kata Abdul Halim, beliau juga tidak menemui ‘power bank’ semasa menyiasat lokasi kejadian dan ia adalah berbeza dengan animasi dikemukakan pihak peguam bela, yang menunjukkan terdapat peranti itu di atas katil mangsa.

“Dalam siasatan saya pada tilam mangsa, memang tidak terdapat sebarang bangkai atau sisa powerbank atau mana-mana telefon (bimbit) terbakar melainkan Blackberry,” katanya.

Pada 15 Jun 2018, media melaporkan kebakaran di bilik tidur Nazrin sehingga mengorbankan nyawanya disebabkan letupan satu telefon bimbit sama ada jenis Blackberry atau Huawei yang sedang dicas berhampiran katil mangsa.

Bagaimanapun, pada 3 Ogos 2018, polis mengklasifikasikan kes kematian Nazrin sebagai kes bunuh berdasarkan laporan bomba serta laporan bedah siasat.

Pada 12 Mac lepas, Samirah yang juga bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia, dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 serta 14 tahun didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, membunuh Nazrin.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok.- BERNAMA