Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad Yahaya

KUALA LUMPUR – Pas Kedah mendakwa, kerajaan cuba bermain ‘tarik tali’ berhubung pemberian bantuan kepada golongan pesawah.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Ahmad Yahaya berkata, pihaknya mengikuti secara rapat kes padi benih dan baja yang belum selesai meskipun sudah masuk pertengahan musim baru untuk bersawah.

Katanya, banyak rungutan diterima daipada pesawah terbabit yang rata-rata mengaitkan kelemahan berlaku oleh pengurusan di pihak berwajib.

“Pas Kedah mendengar sendiri segala rintihan ini menerusi satu Jawatankuasa Khas yang dibentuk di peringkat negeri dan telah duduk mendengar secara rasmi pada pertengahan bulan lalu.

“Kini timbul pula disifatkan permainan tarik tali antara dua Kementerian berkaitan yang menteri-menterinya terdiri daripada tiga parti berlainan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad turut mempersoalkan langkah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebagaimana yang diperkatakan oleh menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub apabila menuding jari kepada Kementerian Kewangan berhubung bantuan yang sepatutnya telah diterima oleh pesawah.

Ujarnya, Kementerian Kewangan menerusi jawapan balas yang diberi oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah pula menyatakan masalah kini berlaku di peringkat Kementerian Pertanian terhadap isu agihan.

Tambah beliau, berdasarkan maklumat daripada jawatankuasa bertindak, seramai 68,000 petani MADA setakat ini hanya menerima sebanyak 20,000 beg baja sahaja manakala terdapat baki 1,890,000 beg lagi yang belum mereka terima.

“Membaca permainan tarik tali begini antara dua kementerian ini, membangkitkan rasa derita di hati rakyat khususnya pesawah.

“Pas Kedah memandang serius perkara ini kerana bagaimanakah dan sampai bilakan isu benih padi dan baja ini boleh diselesaikan jika masih berlarutan begini.

“Tidak ada sebab untuk meneruskan permainan tarik tali ini kerana yang menderita bukan sahaja pesawah tersebut tetapi melibatkan nafkah harian keluarga dan persekolahan anak-anak apatah lagi bagi pesawah yang 100 peratus hanya berharap pendapatan mereka kepada hasil padi,” tegasnya. – MalaysiaGazette