Allahyarham Nazrin Hassan

SHAH ALAM – Abang kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan tidak mempunyai musuh kerana semasa hidupnya arwah seorang yang baik dan sering membantu orang menerusi syarikatnya.

Saksi ke-18 perbicaraan kes pembunuhan itu hari ini, Dr Abdul Aziz Hassan berkata, kebaikannya adiknya terbukti apabila ramai kenalannya yang hadir pada pengebumiannya 15 Jun tahun lalu terdiri daripada pelbagai kaum.

Apa yang menyentuh hati Abdul Aziz pada waktu itu adalah tindakan seorang kenalan yang hadir terkesan dengan pemergiannya sehingga mencium kaki jenazah sebelum dikebumikan.

“Nazrin adalah lelaki baik, yang tidak ada musuh dia banyak tolong orang melalui Cradle Fund. Saya terharu masa solat jenazah di pagi raya semua jenis manusia ada Nazrin meninggal semua jenis manusia ada singh pun cium kaki dia,” katanya kepada Mahkamah Tinggi hari ini.

Nazrin sebelum ini dilaporkan pernah membuat empat laporan polis berkaitan ugutan bunuh, tiga bulan sebelum dia dilaporkan meninggal dunia di rumahnya di Petaling Jaya tahun lalu.

CEO yang meninggal pada usia 46 tahun itu bagaimanapun menarik balik semua laporan polis yang dibuatnya.

Perkara itu disahkan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Selain itu, sebagai abang yang rapat dengan Nazrin, beliau turut menyifatkan adik bongsunya sebagai seorang yang tidak suka mendedahkan apa yang berlaku dalam hidupnya sebaliknya hanya memilih rakan rapat untuknya bercerita khususnya tentang hal peribadinya.

“Nazrin hilang bapa ketika berumur 12 tahun, saya kira hubungan kami rapat. Tidak pernah dia merungut, dia sangat private person, lebih menceritakan dengan kawan-kawan rapat berbanding keluarga.

“Sebelum ini pun dengan bekas isterinya apabila ada masalah sehingga membawa penceraian, kami tidak tahu, kami hanya dengar perkara yang baik dari mulutnya. Tiba-tiba dia bercerai dan selepas beberapa waktu dia mahu berkahwin dengan Samirah Muzaffar,” katanya lagi.

Meskipun pernah gagal dalam perkahwinan pertamanya, mereka tiga beradik tidak pernah menghalang perkahwinan kedua bersama Samirah sebaliknya sentiasa menyokong apa juga keputusan adik bongsu mereka itu -MalaysiaGazette