Ridhuan Tee Abdullah
Mohd. Ridhuan Tee Abdullah.

KUALA LUMPUR – Kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang mendakwa pasukan polis terpinggir dari segi infrasktur dan kemudahan ditemplak ahli akademik.

Pensyarah Pusat Pengajian Teras Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Abdul Hamid mengenai senjata-senjata usang milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan pendedahan yang cukup membimbangkan.

Katanya, sikap berterus terang yang ditunjukkan oleh Abdul Hamid sememangnya satu amalan mulia, tetapi ia bukanlah dalam soal persenjataan dan keselamatan negara.

“Saya fikir, kenyataan sebegini tidak sewajarnya dikeluarkan. Terus sahaja sampaikan kepada kerajaan terutama kementerian bertanggungjawab.

“Sama seperti kenyataan Menteri Pertahanan sebelum ini yang mendedahkan hanya empat daripada 28 buah jet pejuang buatan Rusia milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak boleh terbang.

“Begitu juga kenyataan kapal perang kita tak mampu kejar kapal perang negara China. Teruk sangat kenyataan ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Ridhuan Tee berkata, beliau sebagai seorang pelajar yang mengkaji dalam bidang pengajian politik, strategi dan keselamatan diajar supaya tidak mendedahkan kelemahan keselamatan dan pertahanan di khalayak, kerana musuh-musuh akan tahu sejauhmana kekuatan yang dimiliki.

Ujarnya, tidak nafikan apa yang dinyatakan adalah benar namun, menyatakannya di khalayak membahayakan keselamatan negara.

Pada masa sama, Ridhuan Tee turut bersimpati dengan pasukan polis seperti yang turut dinyatakan oleh Abdul Hamid bahawa pasukan polis terpinggir dari segi infrastruktur dan kemudahan, berbanding perkhidmatan tentera.

Katanya, memang benar kemudahan polis berbeza jauh dengan tentera, walaupun perkhidmatan polis lebih menyerlah daripada tentera mengikut keadaan semasa.

“Saya sering berdamping dengan polis, teramat sedih mendengar rintihan mereka terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk alat tulis, termasuk kertas, dakwat dan pencetak dengan duit poket sendiri.

“Sebab itulah juga rasuah berlaku ada kaitan dengan semua perkara ini.

“Ini belum lagi termasuk cerita meraikan pegawai tinggi polis yang datang melawat kawasan. Semua persiapan kena disediakan dalam keadaan sempurna oleh pegawai bawahan,” ujarnya.

Justeru, beliau menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan rintihan polis yang mana perkhidmatan mereka lebih menyerlah berbanding tentera yang memiliki prasarana lain yang cukup canggih.

Beliau turut merayu agar kerajaan memberi tumpuan kepada PDRM menerusi Belanjawan tahun depan dengan menumpukan kepada aspek logistik yang secukup seperti mana yang dinyatakan oleh Abdul Hamid.

Katanya, perkara itu penting kerana ia mampu mengurangkan gejala rasuah dalam kalangan pasukan keselamatan seperti polis.

“Kerajaan perlu sedar bahawa belanjawan pertahanan dan keselamatan teramat penting dalam dunia hari ini. Jika mahukan keamanan maka bersedialah untuk berperang,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

Warga Bukit Aman macam dianaktirikan, kata KPN

1 Komen

  1. Aikkk… Dulu arwah bapak aku turun kawasan tak perlukan sebarang persediaan pun, mengada2 ajer pegawai2 yg ada sekarang, nak muntah!

Comments are closed.