KUALA LUMPUR – Surat arahan Menteri Pendidikan membenarkan Rakan Siswa Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (RSY) dan Rakan Remaja YADIM (RRY) berdakwah di sekolah dan institusi pendidikan membuktikan ketelusan kerajaan sekarang.

Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, surat yang tular juga bukti keprihatinan kerajaan berbanding kerajaan terdahulu.

“Secara jelasnya, surat yang ditularkan tersebut tidak pernah memaksa mana-mana pelajar sama ada muslim atau bukan muslim untuk menyertai inisiatif tersebut.

“Kehadiran RSY di IPT dan RRY di sekolah hanya akan menyuburkan lagi semangat kesukarelawanan, aktivisme dan kekitaan dalam kalangan mahasiswa dan pelajar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Kenyataan itu menjawab kritikan peguam kontroversi, Siti Kassim yang menempelak Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang membenarkan RSY dan RRY menjalankan dakwah di sekolah dan institusi pendidikan.

Menurut Tuan Kamarul Arief, YADIM komited untuk menggalakkan dialog dan aktiviti silang budaya dalam kalangan anak muda melalui pelaksanaan RSY dan RRY kerana mereka adalah golongan penentu kepimpinan negara pada masa akan datang. – MalaysiaGazette