Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman

KUALA LUMPUR – Tindakan akan diambil terhadap pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan berikutan kekurangan bawang dari India.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, tindakan akan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Katanya, KPDNHEP Negeri Perlis telah diarahkan menyiasat laporan media bahawa harga bawang India telah dinaikkan sebanyak tiga kali sejak September lalu.

“Siasatan tersebut akan meliputi seluruh rantaian bekalan bawang India itu dari peringkat pengimport, pembekal, pemborong dan seterusnya peruncit.

“Notis di bawah Seksyen 21 akan dikeluarkan terhadap setiap rantaian bekalan tersebut bagi mendapatkan maklumat harga kos dan mengesan kenaikan harga bawang tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

BACA: Bekalan bawang merah susut, harga melonjak

BACA: Harga bawang India naik, pengguna boleh tukar kepada bawang Pakistan dan China

Beliau turut mengeluarkan amaran, mana-mana pihak yang melakukan kesalahan itu di bawah Bahagan III atau Bahagian IV boleh disabitkan denda tidak melebihi RM500,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM1 juta.

Manakala, jika pihak berkenaan bukan suatu pertubuhan mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Ujarnya, bagi kesalahan kali yang kedua pula pihak terbabut boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.