Gambar Hiasan. foto Agensi

KANGAR – Pengguna tidak perlu bimbang dengan peningkatan mendadak harga bawang yang diimport dari India kerana boleh membeli bawang dari Pakistan dan China yang jauh lebih murah harganya.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis, Khairul Amin Talib berkata, pemeriksaan terhadap 58 premis di sini mendapati purata harga bawang India di negeri ini meningkat mendadak daripada RM5 sekilogram kepada RM10.93 dalam tempoh dua bulan ini berikutan gangguan bekalan dari negara pengeluar.

Beliau berkata, kenaikan harga bawang besar dan bawang ros (bawang kecil) India berlaku secara mingguan sepanjang awal September hingga Disember ini.

“Namun begitu masyarakat tidak perlu bimbang kerana terdapat alternatif lain dengan membeli bawang yang diimport dari Pakistan atau China yang masing-masing dijual pada harga RM4 sekilogram,” katanya kepada media selepas selesai pemeriksaan skim kawalan harga kawalan maksimum musim perayaan krismas di Pasar Sena di sini, hari ini.

Khairul Amin berkata, tiada aduan orang ramai terhadap kenaikan harga ini kerana bawang tidak termasuk dalam senarai harga barang kawalan.

Dalam pada itu beliau berkata, sebanyak 23 kes dibuka kertas siasatan sepanjang tahun ini bagi kesalahan kenaikan harga harga barang kawalan berjumlah RM28,130.30 dengan RM86,065 nilai rampasan kenderaan serta RM39,200 kompaun yang telah dikutip mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sementara itu, peniaga runcit, K.Karan,47 berkata beliau hanya mampu mendapatkan stok bawang Pakistan daripada pembekal dan harganya agak murah berbanding bawang India.

“Saya dimaklumkan pembekal buat masa ini memang tiada stok bawang India dan kena tunggu selepas sambutan Tahun Baharu Cina nanti,” katanya. – Bernama