Nazarry Rosli

KUALA LUMPUR – Kejatuhan prestasi Bursa Malaysia sebanyak 4.98 peratus sepanjang tahun ini disebabkan ketidakyakinan pelabur terhadap pasaran tempatan.

Ini kerana, pasaran tempatan menghadapi isu persepsi negatif terutama daripada pelabur-pelabur luar negara akibat sentimen politik tanah air yang kurang stabil, selain beberapa isu berkaitan.

Penasihat Persatuan Penganalisa Teknikal Malaysia (MATA), Nazarry Rosli berkata, suasana ketidaktentuan politik terutama dalam isu pemilihan pucuk pimpinan negara pada tahun hadapan dan beberapa isu berkaitan dengan kestabilan hubungan kaum akan terus memberi kesan negatif kepada sentimen Bursa Malaysia untuk suku pertama tahun 2020

Katanya, faktor luaran seperti Brexit, Pilihan Raya Amerika Syarikat dan perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China juga memberi kesan kepada sentimen pelabur global.

Isu-isu berkenaan mungkin akan menyebabkan aliran dan perkembangan dagangan terganggu.

Bagaimanapun, Nazarry menambah, berdasarkan penilaian dan harga-harga saham syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang masih lagi rendah, dijangka mampu memberi pulangan berpatutan – dilihat menjadi faktor yang akan menarik minat pelabur-pelabur domestik dan luar.

“Begitu juga polisi-polisi pembayaran dividen yang baik dan pertumbuhan kepada keuntungan syarikat dalam membantu menaikkan nilai saham mereka, turut memacu minat pelabur,” tambah beliau.

Ditanya mengenai sektor yang menjadi tumpuan pelabur pada tahun depan, Nazarry berkata, sektor eksport dijangka mendapat manfaat kerana kerajaan mahu memacu pertumbuhan ekonomi melalui aktiviti-aktiviti ekonomi berorientasikan pertumbuhan.

Selain itu, sektor perladangan, teknologi maklumat serta minyak dan gas juga akan terus mendapat perhatian pelabur. – MalaysiaGazette