Wong Kah Woh

KUALA LUMPUR – Pendengaran Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan disiarkan secara langsung seawal tahun depan supaya rakyat juga dapat mengetahui perkembangan satu-satu kes secara terbuka.

Sinchew Daily melaporkan, siaran langsung itu tidak terhad kepada kes-kes orang penting seperti menteri dan pegawai kanan sahaja, malahan melibatkan pendengaran untuk kakitangan awam biasa.

Timbalan Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, peraturan mesyuarat telah dipinda untuk membuka jalan kepada lintas langsung dalam pendengaran.

Kah Woh mengakui dirinya mempunyai sedikit rungutan mengenai proses mendapat lampu hijau lintas langsung yang dilihat agak perlahan memandangkan cadangan itu telah dikemukakan semasa Datuk Seri Ronald Kiandee menjadi pengerusi PAC.

“Walaupun ia tidak dilakukan secara segera, tetapi sekurang-kurangnya kami percaya ia akan dijalankan tahun depan.

“Ia menjadikan proses pendengaran lebih terbuka dan mengizinkan rakyat memahami peranan PAC dan jawatankuasa khas Parlimen yang lain,” katanya kepada Sinchew Daily.

Sementara itu, Kah Woh berkata, PAC telah membuat keputusan untuk menyiasat kes pertukaran tanah milik Kementerian Pertahanan.

“Pada Mac atau April lalu, bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang memberitahu bahawa banyak pertukaran tanah Kementerian Pertahanan dijalankan dengan harga lebih rendah.

“Pihak pemaju yang menukar tanah mereka dengan tanah Kementerian Pertahanan pula menggunakan harga lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata, perkara berkaitan adalah berkenaan pengundi didaftarkan apabila markas tentera baru saja dibina, isu yang dibangkitkan semasa pilihan raya umum yang lalu.

Sementara itu, Kah Woh berkata, PAC mahu meninggalkan imej “harimau tanpa taring” .

Katanya, PAC sejak tahun ini meminta agensi yang disiasat dan dicadangkan melakukan penambahbaikan supaya mengemukakan laporan susulan bagi menyatakan tindakan yang diambil untuk memperbetulkan satu-satu keadaan.

Tambah Kah Woh, PAC turut mengambil tindakan proaktif dalam melakukan siasatan termasuk bertindak menyiasat isu “kereta tebang” yang mencuri perhatian rakyat. – MalaysiaGazette